Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama dalam negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pemeteraian persefahaman itu sekali gus melakar sejarah dalam industri muzik tempatan.

"Memorandum ini juga secara tidak langsung membantu menjalinkan kerjasama strategik dan mantap.

"Kerjasama ini akan dapat memastikan RadioTV Majlis Bandaraya Ipoh (RTBI) serta acara persembahan awam yang dianjurkan mendapatkan lesen yang sah daripada MACP," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis menandatangani perjanjian berkenaan di Bangunan MBI hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MACP, Datuk M Nasir dan Pengurus Besar MACP, Mary Yap.

M Nasir (dua kanan) dan Rumaizi (dua kiri) pada majlis MoU antara MBI dan MACP. FOTO L Manimaran
M Nasir (dua kanan) dan Rumaizi (dua kiri) pada majlis MoU antara MBI dan MACP. FOTO L Manimaran

Rumaizi berkata, sejajar dengan hasrat serta inisiatif MBI bagi merealisasikan Ipoh sebagai bandaraya seni, kerjasama yang terlaksana ini menunjukkan MBI sebagai badan pengguna muzik yang prihatin dan sentiasa responsif dalam menegakkan hak pengkarya muzik.

"Ia juga menzahirkan bahawa hak cipta perlu dihormati dan muzik sebagai suatu harta intelek itu perlu diberikan ganjaran bayaran sewajarnya kepada pengkarya muzik," katanya.

Menurutnya, MBI akan sentiasa cakna serta menyokong usaha memartabatkan karya seni anak tempatan.

"Ini kerana sudah pasti ianya akan menjadi sebuah warisan dan aset kebudayaan yang tinggi nilainya," katanya.

Sementara itu, M Nasir berkata, turut menzahirkan penghargaan di atas usaha MBI menghargai karya muzik negara.

"Sebelum ini kita mungkin tidak ada MoU sebegini, kita tidak dapat apa-apa daripada aktiviti (karya muzik) yang berlaku di sini (Ipoh).

"Saya bagi pihak MACP sangat bersyukur kerana Datuk Bandar Ipoh sendiri yang merealisasikan serta peka dengan hasil golongan kreatif yang sepatutnya dibela, ini satu usaha yang sangat baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 8:37 PM