GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Tindakan pantas seorang lelaki warga emas yang menyedari sebuah bilik dalam rumahnya terbakar berjaya menyelamatkan isterinya dalam kebakaran di tingkat empat, Flat Jalan Tengah, Taman Bukit Gedung di Bayan Lepas dekat sini hari ini.

Dalam kebakaran 1.10 tengah hari itu, suami atau mangsa lelaki Lew Joo Hing, 60, melecur kira-kira 40 peratus manakala isterinya Lim Beng Lay, 58, melecur lebih 80 peratus.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Hirman Mat Rodzi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.15 tengah hari memaklumkan sebuah rumah di kawasan flat itu terbakar dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bergegas ke lokasi kebakaran.

"Sebaik tiba kami mendapati sebuah bilik berkeluasan 100 kaki persegi (9.29 meter persegi) telah terbakar manakala pasangan suami isteri itu berada di luar rumah dalam keadaan melecur.

Pihak bomba menjalankan kerja pemadaman kebakaran dan api berjaya dipadamkan pada 1.37 tengah hari, hanya dalam bilik tersebut sahaja terbakar kerani api tidak sempat merebak ke ruang lain hasil tindakan pantas operasi memadam api," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Hirman berkata, menurut lelaki itu, kebakaran tersebut bermula di bilik berkenaan dan semasa kejadian isterinya sedang berehat di situ manakala dia turun ke bawah untuk mengambil barangnya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan yang sedang menaiki tangga untuk balik ke rumahnya menyedari kebakaran itu dan terus bergegas untuk menyelamatkan isterinya yang sendirian dalam bilik di kediaman mereka.

Katanya tindakan pantas lelaki itu telah berjaya menyelamatkan isterinya kerana menurut mangsa, wanita itu dalam keadaan tergamam ketika berlaku kebakaran malah dia juga tidak dapat keluar dari bilik berkenaan sehingga diselamatkan oleh suaminya.

"Pasangan itu mengalami melecur iaitu suaminya di bahagian di muka dan tangan manakala isterinya melecur hampir keseluruhan badan, mereka telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian dan punca kebakaran bilik itu masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 5:10 PM