KETUA Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) menunjukkan cip kasino yang dirampas. FOTO Asrol Awang
KETUA Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) menunjukkan cip kasino yang dirampas. FOTO Asrol Awang
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Bentong: Dua suspek kes kecurian 1,160 keping cip bernilai RM 4.6 juta di sebuah bilik di kasino di Genting Highlands, di sini akan dituduh di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dua lelaki terbabit dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Bentong, di sini pada 9 pagi.

Terdahulu Harian Metro melaporkan polis sedang berusaha mengesan suspek yang mencuri cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta pada 28 Oktober lalu.

Berdasarkan rakaman kamera kitar tertutup (CCTV) mendapati dua lelaki memasuki bangunan yang menempatkan beberapa bilik kasino khas melalui laluan kecemasan jam 7 pagi pada hari kejadian.

Polis berjaya menahan 10 suspek lelaki berusia 30 hingga 59 tahun menerusi operasi sekitar Genting Highland, di sini pada 29 Oktober hingga 1 November lalu.

Susulan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, dilapor berkata pihaknya sedang mengesan lima lagi suspek lelaki tempatan berusia antara 39 tahun dan 51 tahun termasuk dalang utama berusia 44 tahun yang dipercayai masih berada dalam negara.

Sebanyak 428 cip bernilai RM2.99 juta dan wang tunai RM16,438 dirampas manakala baki 732 cip masih dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 12:34 AM