PENIAGA ayam menunjukkan tanda ayam mahal. FOTO Nuraliawati Sabri
PENIAGA ayam menunjukkan tanda ayam mahal. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

Melaka: Peniaga ayam di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, meluahkan kebimbangan sekiranya harga jualan ayam terus melonjak melebihi RM10.

Tinjauan mendapati, ayam segar dijual dengan harga RM9.90 sekilogram dan difahamkan kenaikan itu berlaku sejak seminggu lalu.

Difahamkan, kenaikan itu disebabkan harga dedak ayam didakwa tinggi pada ketika ini.

Peniaga ayam, Ghazali Abu Bakar berkata, harga itu antara yang paling tinggi dalam tempoh 10 tahun terpaksa dijual selepas berlaku kenaikan mendadak.

Katanya, disebabkan harga tinggi diperoleh daripada pembekal dan ladang, peniaga tiada pilihan selain menjual dengan harga RM9.90 berbanding antara RM7 hingga RM8 sebelum ini.

"Sepatutnya harga sekarang melebihi RM10 sekilogram, tetapi kami ambil keputusan untuk jual RM9.90, walaupun untung tidak banyak.

"Kesan kenaikan ini menyebabkan pembeli turut merungut, contohnya sebelum ini ada biasa beli dua ekor, tetapi disebabkan harga tinggi mereka hanya beli seekor sahaja," katanya.

Peniaga ayam, Ahmad Bakhtiar berkata, susulan kenaikan harga ayam segar, jualannya turut terkena tempias apabila merosot berbanding sebelum ini.

"Peniaga seperti kami tiada pilihan apabila harga sudah sedia ada tinggi, difahamkan kerana harga dedak naik.

"Jika sebelum ini untuk habiskan 100 atau 200 ekor senang sahaja, sekarang nak habiskan 100 pun susah jika terus berlarutan kami akan terjejas teruk," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga ayam yang berlaku.

Beliau berkata, kenaikan berlaku bagi ayam segar di pasar namun harga jualan ayam di pasar raya masih sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 4:10 PM