Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
Hamzah Osman


Langkawi: Tiada kenaikan harga mendadak bagi ayam bulat segar di seluruh negara selepas penamatan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan sejak Rabu lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, ia berdasarkan laporan pemeriksaan setiap hari oleh 900 pegawai pemeriksa dan pemantau harga seluruh negara.

Katanya, 2,200 pegawai penguat kuasa KPDN mempunyai jadual tetap untuk membuat pemeriksaan mengejut di premis menjual ayam.

"Purata harga ayam semalam RM8.51 sekilogram," katanya pada sidang media selepas melepaskan 48 peserta Cabaran 6 Jam Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di sini, hari ini.

Fuziah berkata, pihaknya akan terus memantau harga bahan mentah itu supaya terus stabil tanpa kenaikan mendadak dalam jangka tempoh panjang dan tidak hanya untuk beberapa hari ini saja.

Mengulas Cabaran 6 Jam ReDi,beliau berkata, siri pertama dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan selama dua hari pada September lalu, manakala program di Langkawi kali ini menjadi cabaran terakhir kepada peserta.

"Setiap peserta dikehendaki melaksanakan aktiviti advokasi dan promosi kaedah pembayaran elektronik kepada peniaga dalam tempoh enam jam dan kumpulan yang memperoleh penyertaan tertinggi dinobatkan sebagai juara.

"Program ini akan diperluaskan pada tahun hadapan dengan penambahan lebih banyak inisiatif seperti 'ReDi Plus' dan 'ReDi Referral' yang memberi manfaat kepada lebih ramai kumpulan sasar," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 1:37 PM