Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed
Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed
Samadi Ahmad


Putrajaya: Status kontrak perkhidmatan pekerja syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) yang seakan-akan tergantung adalah antara faktor mempengaruhi proses permohonan faedah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, bagaimanapun pihaknya akan terus melipatgandakan usaha ke arah penyaluran bantuan termasuk pemberian faedah, penempatan pekerjaan baharu dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja MYAirline.

"Bagi membantu masalah dihadapi pekerja MYAirline, Perkeso menjalankan lima program intervensi awal bagi membantu pekerja yang terbabit," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mohammed Azman berkata, intervensi pertama adalah mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama pengurusan sumber manusia MYAirline pada 12 Oktober lalu sejurus selepas syarikat penerbangan itu mengumumkan penggantungan operasi.

Menurutnya, bersandarkan maklumat situasi semasa pekerja syarikat itu, Perkeso kemudian bekerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) bagi merencana usaha menyerap kakitangan melalui temuduga bagi jawatan kru kabin, jurutera dan khidmat pelanggan, 14 Oktober lalu.

Katanya, dua lagi mesyuarat lanjutan diadakan secara dalam talian dan fizikal masing-masing pada 18 dan 19 Oktober lalu.

"Mesyuarat diadakan melibatkan pengurusan tertinggi MYAirline itu bertujuan merangka program susulan yang perlu diadakan secepat mungkin demi memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup pekerja syarikat penerbangan itu terjamin," katanya.

Beliau berkata, hasil mesyuarat itu kemudian membawa kepada taklimat faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan pemprofilan pekerja oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan untuk kakitangan MYAirline di Subang Jaya yang diadakan selama dua hari, 25 Oktober lalu.

Katanya, menerusi taklimat itu, Perkeso juga mendapatkan butiran pekerja MYAirline untuk proses 357 permohonan faedah SIP bagi tempoh maksimum selama enam bulan demi menjamin kelangsungan kehidupan mereka.

"Usaha Perkeso dalam membantu dan merungkai kemelut dialami pekerja MYAirline itu turut mendapat kerjasama Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM)," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 2:19 PM