GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Samadi Ahmad


Sepang: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut syarikat penerbangan MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) memberi penjelasan mengenai status pekerja mereka yang masih tergantung.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, sebelum ini MyAirline menyatakan semua kakitangan tidak diletakkan pada cuti tanpa gaji atau ditamatkan perkhidmatan.

Menurutnya, beliau dimaklumkan MyAirline tidak membayar gaji pekerja sejak September lalu dan ia menyukarkan pekerja untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, status tergantung ini juga menyukarkan mereka untuk mencari pekerjaan baharu termasuk berdepan kesukaran tuntutan Skim Insuran Pekerjaan Perkeso.

"MTUC berharap Jabatan Tenaga Kerja mengambil tindakan segera bagi membantu pekerja termasuk mengenakan tindakan undang-undang," katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, semalam, ketika mengiringi beberapa kakitangan MYAirline membuat laporan terhadap syarikat penerbangan itu.

Pada 12 Oktober lalu, MYAirline membuat pengumuman memberhentikan operasi sementara menerusi emel yang dihantar kepada pekerja.

Media pada 16 Oktober lalu melaporkan Eksekutif Interim MYAirline Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, tiada pekerja yang diberhentikan atau diberi cuti tanpa gaji dan usaha membayar gaji mereka akan diberi keutamaan sebaik sahaja pelabur baharu mengambil alih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 1:46 PM