DR Mohammed Azman Aziz
DR Mohammed Azman Aziz
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mulai 2018, pekerja yang kehilangan pekerjaan layak menerima faedah interim berbentuk elaun tunai berjumlah RM600 sebulan bagi tempoh maksimum tiga bulan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerajaan memperuntukkan RM122 juta kepada PERKESO untuk melaksanakan SIP tersebut.

Katanya, 57,282 individu dijangka menuntut faedah itu membabitkan RM103 juta tahun depan.

“Melalui program SIP juga, mereka yang menjalani peletakan jawatan secara sukarela (VSS) juga layak menerima faedah berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata PERKESO akan mengadakan jerayawara selama sebulan di 17 lokasi seluruh negara mulai hari ini untuk memberi kefahaman mengenai liputan, pendaftaran, caruman, pentadbiran dan penguatkuasaan SIP kepada majikan, pekerja dan kesatuan pekerja di negara ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Mohd Gazali Abas menyasarkan RM470 juta akan dicarum 6.4 juta pekerja swasta melalui program SIP.

SIP mula dilaksanakan pada Januari depan sebagai satu jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu golongan pekerja swasta yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan dan mencari pekerjaan baru.

Pada 25 Oktober lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan Rang Undang-Undang itu akan dibentangkan di Dewan Negara.

Melalui skim SIP, kadar caruman majikan 0.2 peratus dan 0.2 peratus daripada gaji bulanan pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:08 AM