GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial mengandungi kenyataan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki pertama yang disyaki pemilik atau pengendali Facebook Nekad Hikers Ventures berumur lingkungan 51 tahun, ditahan di kawasan Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.

"Lelaki kedua pula yang dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook Jgad Zruu berumur 27 tahun, ditahan di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata kes masih di peringkat siasatan, dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"PDRM menasihati orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama membabitkan kegentaran awam dan keselamatan negara," katanya tadi.

Mohd Shuhaily berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 2:22 PM