GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan individu dikenali Victor Yong bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya menyokong hubungan diplomatik dengan Israel.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, individu berusia 36 tahun itu didakwa membuat kenyataan dalam temubual bersama pempengaruh media sosial Israel bernama Hananya Naftali.

"Permohonan reman selama tiga hari sehingga 8 Disember ini dibenarkan Mahkamah Majister Johor Bahru.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan (D5) Bukit Aman," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"PDRM juga mengingatkan kepada orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan kemudahan bagi maksud menyalahi undang-undang," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi lima minit 33 saat dimuat naik Hananya Naftali tular di X, tular sejak semalam, yang memaparkan temubual dengan lelaki dikenali 'Victor Yong Jen Ong', mendakwa berasal dari Johor.

Dalam rakaman itu, Victor didakwa mengeluarkan pandangan yang menggalakkan Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel selain menyentuh sensitiviti umat Islam dengan memetik ayat al-Quran secara salah bagi menjustifikasikan agenda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 7:40 PM