GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja menerusi media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka ditahan dalam dua tangkapan berasingan di Selangor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan pengendali akaun Facebook 'Muhammad Farhan' iaitu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di kawasan Gombak, Selangor, semalam (Khamis).

"Tangkapan kedua pula dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai pemilik akaun TikTok @azwanar90. Suspek ditahan di Balik Pulau, Pinang, hari ini (Jumaat).

"Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan berhubung hantaran yang berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja," katanya dalam kenyataan.

Mohd Shuhaily berkata, suspek pertama direman tiga hari sehingga 15 Oktober, manakala suspek kedua direman empat hari hingga 16 Oktober.

"Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 Dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya membabitkan isu 3R (raja, agama, kaum).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 12:03 AM