FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung penularan klip video yang dimuat naik pemilik akaun Facebook Reuben George.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal atau emosi.

Katanya, selain itu polis turut menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran kepada awam.

"Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu video dengan keterangan 'please do not call me until finish watching' berdurasi 16 minit dan tiga saat itu memaparkan rakaman tiga sekeluarga yang berpura-pura meminum racun akibat kemurungan.

Individu di dalam video berkenaan juga turut mempertikaikan usaha dan mengesa kerajaan mengambil tindakan drastik dalam menangani isu pandemik Covid-19 yang menyebabkan tekanan serta kemurungan dalam kalangan rakyat.

Ia mendapat 252 maklum balas, 93 komen 246 perkongsian dan ditonton seramai 6,300 orang sejak tular dua hari lalu.

Abd Jalil berkata tindakan menularkan perlakuan 'bunuh diri' di media sosial boleh mengundang kepada 'copycat suicide' bagi mereka yang berisiko seperti dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor hisham Abdullah.

"Polis menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu semasa yang bersifat sensitif.

"PDRM turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh menimbulkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 12:57 PM