GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Gara-gara memuat naik kenyataan disyaki berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Ketua Polis Negara di media sosial baru-baru ini, dua lelaki tempatan ditahan semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dua suspek ditahan secara berasingan di sekitar Selangor dan Pulau Pinang.

"Tangkapan pertama disyaki pemilik akaun Facebook Nekad Hikers Ventures berusia 51 tahun ditahan sekitar Bangi, Selangor semalam.

"Tangkapan kedua dipercayai pemilik/pengendali akaun Facebook Jgad Zruu juga ditahan semalam di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan sembunyi nama.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan kemudahan rangkaian dan lain-lain secara tidak wajar.

"Kes masih di peringkat siasatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"PDRM mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna, dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama yang membabitkan kegentaran awam dan keselamatan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 1:13 PM