LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Muhamad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Hanya sekumpulan kecil daripada setinggan pertanian yang mengusahakan kebun secara haram di tapak projek Silver Valley Technology Park (SVTP), Khantan, Chemor, di sini, menerima tapak alternatif di Changkat Kinding, Tanjung Rambutan, yang ditawarkan kerajaan negeri.

Pejabat Menteri Besar Perak melalui kenyataannya berkata, bagi menyelesaikan isu yang sudah berlarutan lebih 11 tahun itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) juga telah mewartakan tapak alternatif itu sebagai zon pertanian.

Katanya, kerajaan negeri turut membelanjakan lebih RM700,000 bagi penyediaan infrastruktur serta kerja pembinaan teres bagi tujuan perladangan serta kemudahan saluran bekalan air di tapak itu.

"Lawatan sudah dilakukan ke tapak di Changkat Kinding pada Mei 2021 bersama setinggan pertanian terbabit, namun malangnya sehingga kini hanya sekumpulan kecil daripada mereka menerima tawaran berkenaan," katanya.

Pejabat Menteri Besar Perak turut menafikan dakwaan berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa terhadap kumpulan setinggan pertanian berkenaan memandangkan proses pengosongan tanah dilakukan mengikut saluran undang-undang.

Katanya, kerajaan negeri memahami kekangan dihadapi setinggan pertanian terbabit dan pihaknya melalui PKNPk sentiasa membuka pintu perundingan supaya penyelesaian menerusi penyediaan tapak alternatif itu dapat direalisasikan.

"Kerajaan Negeri yakin isu terbabit boleh diselesaikan secara harmoni dengan semua pihak mengambil sikap tanggungjawab dan menghormati prinsip serta keluhuran undang-undang," katanya.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan empat individu termasuk tiga ahli parti politik ditahan polis selepas menghalang tugas penguatkuasaan ke atas sekumpulan petani di tapak projek SVTP, berkaitan kes pencerobohan tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 9:04 PM