Smart Selangor Agro Park (SSAP) di Changkat Menteri dilaksanakan dengan cara yang betul dan sudah melakukan EIA. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Smart Selangor Agro Park (SSAP) di Changkat Menteri dilaksanakan dengan cara yang betul dan sudah melakukan EIA. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), menafikan bahawa pembangunan projek Selangor Smart Agro Park (SSAP) di Changkat Menteri, Sabak Bernam, dilaksanakan tanpa melalui Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Dalam kenyataannya PKPS memakumkan, pihaknya sudah melantik konsultan pada 2019 untuk menjalankan kajian EIA di atas tanah itu bagi cadangan pembukaan kawasan ladang kelapa sawit, sebagaimana kategori kegunaan tanah yang ditetapkan di dalam Suratan Hakmilik PKPS.

Katanya berdasarkan kajian dijalankan, semua komponen teknikal dan impak kepada alam sekitar dalam kajian EIA berkenaan dipatuhi, mengikut spesifikasi pembangunan yang dikeluarkan oleh PKPS.

"Bagaimanapun polisi kerajaan tidak membenarkan pembukaan kawasan baru bagi tujuan penanaman baru kelapa sawit. Sehubungan dengan itu, PKPS membuat keputusan untuk menukar tanaman kepada komoditi berasaskan makanan, seperti mana yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara," katanya.

Katanya cadangan pelaksanaan SSAP yang hanya untuk aktiviti pertanian dan penanaman sayur-sayuran itu menyebabkan polisi kerajaan berkenaan penanaman baru sawit adalah tidak terpakai justeru tidak ada sebab mengapa inisiatif berkenaan tidak boleh dilaksanakan.

Menjawab kepada kenyataan media yang dikeluarkan kenyataan oleh Gabungan Melindungi Hutan Negeri Selangor berkenaan SSAP pada 6 April lalu, PKPS berkata segala prosedur lengkap dipatuhi, bagi memastikan pelaksanaan inisiatif tersebut adalah berlandaskan undang-undang dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor

"PKPS ingin menegaskan bahawa matlamat pembinaan SSAP adalah untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif, bagi memastikan sekuriti makanan khususnya di negeri Selangor sentiasa terjamin," katanya.

Tambahnya semakan dan ulasan daripada Jabatan Perancang Bandar Dan Desa (JPBD) Negeri Selangor pada 19 Mac, jelas menyatakan tanah itu tidak dikategorikan sebagai kawasan rizab hutan paya gambut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 7:28 PM