Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Pemerkasaan pertanian bandar atau urban farming merupakan antara kaedah pendekatan alternatif bagi mengukuhkan agenda sekuriti makanan dengan menggalakkan masyarakat membudayakan aktiviti bercucuk tanam bagi yang sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaan harian dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Justeru, pertandingan urban farming yang menyasarkan institusi tertentu khususnya rumah ibadah serta institusi pendidikan di peringkat rendah dan menengah wajar diperluaskan dalam menyokong usaha kerajaan menggalakkan pertanian bandar menerusi pemerkasaan 'Dasar Kebun Komuniti Bandar'.

Mengambil tanggungjawab itu, Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau dan Pertandingan Edu Farming Sekolah peringkat negeri Perak diadakan membabitkan kerjasama rentas jabatan serta agensi termasuk Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Agrobank, Jabatan Pertanian Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Jabatan Pendidikan Negeri Perak, serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Penganjuran pertandingan sedemikian juga memperlihatkan komitmen kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi pertanian dalam mendukung komuniti Agro yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk terus mempromosikan konsep pertanian lestari dan pintar, sekali gus sebagai platform mengukuhkan kelestarian sekuriti makanan serta pemerkasaan konsep pertanian pintar.

Ia sebagai rangsangan bagi menjadikan aktiviti pertanian termasuk pertanian bandar sebagai kaedah penghasilan bahan makanan sendiri selain berpotensi untuk diketengahkan sebagai sumber penjanaan pendapatan utama atau sampingan sama ada kepada individu perseorangan mahupun sesebuah komuniti keseluruhannya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sekuriti makanan sememangnya diletakkan sebagai antara teras utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusannya yang mana disebabkan itu sebarang program ke arah menjayakan agenda itu termasuk dalam menarik minat masyarakat semestinya disokong penuh.

SAARANI  (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil Sekolah  Kebangsaan Changkat Lobak Bagan Serai pada Majlis Pelancaran Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 Peringkat Negeri Sempena Program MESRA Hari Bertemu pelanggan Kerajaan Negeri di pekarangan Stadium Indra Mulia, Ipoh. FOTO L MANIMARAN
SAARANI (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada wakil Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak Bagan Serai pada Majlis Pelancaran Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 Peringkat Negeri Sempena Program MESRA Hari Bertemu pelanggan Kerajaan Negeri di pekarangan Stadium Indra Mulia, Ipoh. FOTO L MANIMARAN

"Kita letakkan sekuriti makanan sebagai keutamaan dan oleh itu kita ada program berkaitannya dengan tujuan menarik minat rakyat Perak untuk menyiapkan keperluan barang makanan makanan sendiri. Kita hendak lebih ramai orang bersiap sedia dengan apa yang dipanggil sebagai kitchen farm (pertanian dapur).

"Sebab itu, ia kena dimulakan dengan pendidikan di peringkat awal dengan membuat pertandingan membabitkan antara sekolah dengan harapan agar sekolah di Perak menggalakkan pelajarnya mencintai kerja pertanian, begitu juga di surau serta masjid dalam kalangan ahli kariah.

"Pertandingan yang diadakan bukan sekadar bagi mencari pemenang namun sebaliknya dengan harapan pertanian akan menjadi budaya kepada pelajar sekolah berkenaan serta keluarganya di samping masyarakat am bagi kategori surau dan masjid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Pertandingan Urban Farming Masjid/ Surau 2023 serta majlis penyampaian hadiah Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022 peringkat negeri sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan kerajaan negeri di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini, semalam.

Bagi Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022, sebanyak 16 sekolah mengambil bahagian membabitkan kategori sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Kerian manakala juara kategori sekolah menengah disandang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Idris Shah, Gopeng.

Bagi kedua-dua kategori yang membabitkan penyertaan sekolah dari daerah Kinta Utara, Kinta Selatan, Perak Tengah dan Kerian itu, johan membawa pulang RM6,000, diikuti naib johan (RM4,000) dan tempat ketiga (RM2,000) selain turut membawa pulang plak serta sijil.

Untuk Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 pula, hadiah wang tunai keseluruhan RM36,000 bersama plak dan sijil turut ditawarkan dengan penyertaan bagi pertandingan itu masih dibuka sehingga 28 Februari ini membabitkan komuniti masjid atau surau di seluruh Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 10:37 AM