Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Pengusaha ternakan ketam nipah di Kampung Beting Luas di Changkat Keruing,dekat sini, memohon kerajaan negeri membantu mereka mendapatkan lesen pendudukan sementara (TOL) bagi mengembangkan industri berkenaan.

Pengusaha, Razin Pikry Abd Razak, 28, berkata, kawasan itu

adalah rizab sungai berkeluasan 10.1 hektar yang juga habitat semula jadi ketam nipah malah ia berpontensi untuk dikomersilkan.

Menurutnya, dia kini mengusahakan 0.8 hektar kawasan berkenaan dan memiliki kira-kira 4,000 benih ketam yang mengambil masa lima hingga enam bulan untuk mencapai usia matang.

"Jika kerajaan negeri dapat memberikan kelulusan, kami boleh mengusahakannya secara berkelompok sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baru.

"Ia juga dapat memberi pendapatan tambahan kepada nelayan dan penduduk setempat. Ketika ini, hanya ada dua pengusaha di sini dan keluasan seluruh kawasan itu boleh memberi peluang kepada 20 pengusaha," katanya.

Menurut Razin Pikry, ternakan ketam nipah berpotensi untuk dikomersilkan kerana usaha ini tidak begitu meluas berbanding ternakan ikan sangkar dan udang.

Razin Pikry  (dua kanan) menunjukkan ketam nipah yang dibelanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria (kanan) di Kampung Beting Luas, Changkat Keruing di Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Razin Pikry (dua kanan) menunjukkan ketam nipah yang dibelanya kepada Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria (kanan) di Kampung Beting Luas, Changkat Keruing di Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Razin Pikry yang sudah empat tahun terbabit dalam penternakan ketam nipah bersama bapanya ditemui pada lawatan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria semalam.

Razin Pikry berkata, penternakan yang dijalankannya mesra alam, tidak mengganggu ekosistem serta tidak membabitkan pembersihan hutan.

Pada masa sama, tiada pokok bakau ditebang kerana penternakan itu memang perlu dilakukan di habitat asal ketam nipah serta secara berpagar.

"Saya berharap usaha dijalankan ini dapat diperluaskan dengan bantuan kerajaan negeri dan pihak berkaitan kerana ketam nipah mendapat permintaan tinggi di pasaran," katanya.

Sementara itu, Razman berkata, pihaknya akan meneliti perkara berkenaan.

"Penternakan ketam nipah ini boleh dikembangkan. Ia juga termasuk perancangan menubuhkan My Komuniti Perikanan (MyKP) di kawasan berkenaan.

"Kita akan bincang perkara ini (dengan pihak berkaitan) mungkin kita (boleh) warta kawasan itu sebagai kawasan untuk komuniti di sini memelihara ketam nipah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 3:31 PM