Nazdy Harun


Kuala Berang: "Pencen yang ditinggalkan arwah anak sulung akan digunakan sebaik mungkin untuk menguruskan isteri yang menghidap angin ahmar dan memerlukan perbelanjaan bulanan," kata Draman Tun Rahim, 66.

Draman berkata, walaupun Faisal sudah tiada kerana terbabit dalam kemalangan ketika bekerja, arwah meninggalkan pencen sekali gus dapat meringankan beban menguruskan ibunya Halijah Mat Kassim, 64.

Menurutnya, Halijah diserang angin ahmar beberapa kali dan kejadian terakhir berlaku pada awal tahun ini mengakibatkan isterinya lumpuh.

Katanya, anak sulung daripada tujuh beradik itu banyak membantu daripada segi kewangan memandang dia juga tidak bekerja sejak lima tahun lalu.

"Dahulu saya bekerja sebagai pengawal keselamatan, namun selepas perkhidmatan ditamatkan selain usia semakin meningkat, saya tidak melakukan sebarang pekerjaan.

"Selain adik beradik lain, arwah turut menampung perbelanjaan saya dan ibunya yang kini menggunakan lampin pakai buang dan susu khas.

"Setiap bulan lebih RM500 diperlukan untuk perbelanjaan keperluan isteri selain barangan dapur," katanya.

Draman berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumahnya di Kampung Pasir Dula, di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian yang menimpa arwah meninggalkan kesan kepada keluarga, namun mujur majikannya mencarum sehingga dia dan isteri layak menerima pencen penakat berkenaan.

Katanya, arwah bekerja sebagai pembantu pemandu bot pelancong di Tasik Kenyir dan kejadian pelanggaran bot itu mengakibatkan arwah meninggal dunia dengan jenazahnya ditemui beberapa hari kemudian.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, selain menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000, keluarga arwah turut menerima pencen penakat bulanann.

"Majikan arwah membuat caruman dan arwah pula mengalami kemalangan ketika bekerja sekali gus membolehkan keluarga arwah layak menerima faedah daripada Perkeso sekali gus meringankan beban keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 2:28 PM
Farihah Che Husin, menyampaikan faedah pengurusan mayat kepada Draman Tun Rahim, 66, dan isterinya Halijah Mat Kassim, 64. FOTO NAZDY HARUN
Farihah Che Husin, menyampaikan faedah pengurusan mayat kepada Draman Tun Rahim, 66, dan isterinya Halijah Mat Kassim, 64. FOTO NAZDY HARUN