Pemandangan pekan Tak Bai dari Sungai Golok yang menjadi pemisah kedua buah negara. Kelihatan pemandu bot penambang menunggu pelanggan di pengkalan sungai. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pemandangan pekan Tak Bai dari Sungai Golok yang menjadi pemisah kedua buah negara. Kelihatan pemandu bot penambang menunggu pelanggan di pengkalan sungai. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris

Tak Bai (Thailand): Selepas insiden letupan bom dan kejadian tembakan di sini, awal pagi semalam, situasi di pekan Tak Bai kembali tenang dengan rutin harian penduduk berjalan seperti biasa.

Pergerakan bot penambang juga kembali beroperasi bermula hari ini selepas seharian dihentikan semalam berikutan faktor keselamatan orang ramai.

Tinjauan yang dibuat di sekitar Tak Bai di sini, juga mendapati banyak premis kembali dibuka namun temu ramah bersama penduduk sekitar mengatakan mereka tetap perlu berjaga-jaga.

Menurut Furqan Yusof, 40, kejadian yang berlaku pada 1.30 pagi semalam (waktu tempatan), dia bersama keluarga sedang tidur dan tersedar apabila dikejutkan dengan bunyi bom.

"Bunyi bom itu sangat kuat dan bergegar rumah disusuli kejadian tembakan menyebabkan kami terpaksa meniarap walau berada dalam rumah kerana bimbang terkena peluru yang ditembak rambang.

"Keadaan itu berlaku sekitar 15 minit sebelum situasi menjadi senyap dan kami tetap tidak keluar dari rumah kerana bimbang sebelum mengetahui keadaan sebenar berlaku tidak lama kemudian sebaik tular," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Furqan berkata, walaupun situasi sebegitu dianggap sudah biasa dialami masyarakat di Selatan Thailand tetapi mereka tetap berwaspada.

Dalam insiden yang bermula dengan letupan bom di depan sebuah kedai emas, serangan kemudiannya menghala ke pos keselamatan polis di pekan itu yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian yang menyebabkan tujuh anggota polis cedera.

Tinjauan juga dibuat di tiga lokasi insiden iaitu di hadapan sebuah hotel yang dilempar bom menyebabkan berlakunya kerosakan kecil di hadapan premis, manakala dua lokasi lagi mendapati beberapa batang tiang elektrik tumbang.

Difahamkan, laluan di lokasi yang terbabit insiden mula dibuka kepada penduduk setempat hari ini dengan pihak berwajib didapati masih menjalankan operasi baik pulih bekalan elektrik.

Insiden itu berlaku beberapa hari sebelum Ulang Tahun Ke-19 Tragedi Tak Bai yang menyebabkan 85 peserta protes maut pada 25 Oktober 2004.

Peserta protes dilaporkan bertindak ganas apabila tentera melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah lebih 1,000 peserta di luar Balai Polis Tak Bai.

Protes itu diadakan kerana membantah penahanan enam lelaki yang dituduh merompak senjata api milik kerajaan Thailand dan membekalkannya kepada pihak pemberontak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 4:31 PM