Kuala Lumpur: Sebanyak 31 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana di seluruh negara, semalam.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel dalam satu kenyataan semalam berkata, antara kawasan mencatat IPU sederhana ialah Pelabuhan Klang, Selangor (95), Batu Muda, Kuala Lumpur (86) dan Petaling Jaya(86).

Selain itu Pulau Pinang mencatatkan bacaan IPU 64, Seberang Perai (79) dan Universiti Sains Malaysia (73).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak Sihat) 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Katanya, kemerosotan kualiti udara di pantai barat Semenanjung dan Sarawak masih akibat pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) kini masih memantau situasi berkenaan dan berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) berpusat di Singapura semalam, ia merekodkan 253 titik panas di Kalimantan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan cerapan satelit, terdapat 18 lagi lingkaran asap jerebu sederhana di bahagian selatan Sumatera dan di tengah serta selatan Kalimantan.

"Dalam hal ini, Malaysia turut menggesa kerajaan Indonesia segera melaksanakan tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran tanah dan hutan secara lebih efektif," katanya.

Sementara itu, Palanivel berkata, JAS mengambil beberapa langkah menangani musim panas dan kering Monsun Barat Daya.

"Antaranya dengan mengaktifkan pelan tindakan pencegahan pembakaran terbuka," katanya.

dan prosedur tetap operasi program pencegahan dan pengurusan tanah gambut sering terbakar," katanya.

Palanivel berkata, setakat semalam, 4,780 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara.

Pembakaran terbuka membabitkan kawasan hutan sebanyak 908 kes, pertanian (1,476 kes), industri (34 kes), pembinaan (156 kes), tapak pelupusan sampah (86 kes), belukar (1,035 kes) dan pembakaran terbuka kecil (1,076 kes).

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka dengan sengaja atau untuk tujuan tertentu.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:06 AM