Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Warga emas mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiapkan sebidang jala hasil kerja tangan yang dilakukan sejak 50 tahun lalu.

Musa Mohd, 80, Kampung Chendering, dekat sini berkata, sebelum menjadikan pekerjaan membuat jala sepenuh masa, dia terlebih dahulu bekerja sebagai nelayan.

Menurutnya, dia mengambil keputusan tidak lagi ke laut sejak 50 tahun lalu, malah menjadikan kerja menyirat jala sebagai pekerjaan hakikinya sehingga kini.

Katanya, sebidang jala yang dihasilkan secara tradisional dijual dengan harga RM320 hingga RM350 bergantung kepada mata jala yang dihasilkan.

"Biasanya saya menyirat jala sepanjang 3.5 meter dengan mengambil masa selama sebulan setengah hingga dua bulan untuk disiapkan.

"Setiap satu bidang jala memerlukan tujuh tongkol tali tangsi dan bahan utama itu dibeli di daerah Dungun, kerana hanya kedai tertentu saja mempunyai tali tangsi yang berkualiti.

"Mata jala bersaiz kira-kira lima sentimeter saja yang saya hasilkan dan ketahanan pula bergantung kepada pemakaian individu yang menempahnya," katanya.

Menurutnya, sekiranya jala diguna secara lasak ia mampu bertahan dua hingga tiga tahun namun jika digunakan secara berkala jala berkenaan boleh bertahan hingga puluhan tahun.

Musa berkata, teknik simpanan jala juga perlu betul iaitu perlu disimpan secara lurus bagi menjamin ketahanannya untuk jangka masa panjang.

Katanya, jala yang berada di pasaran merupakan jala buatan kilang namun bagi penggemar aktiviti menjala biasanya tidak menggunakan jala seumpama itu kerana ketahanannya berbeza.

Musa berkata, individu yang hobinya menjala biasanya akan menempah jala untuk kegunaan mereka kerana ketahanan dan kepuasan ketika melakukan aktiviti menjala ikan.

"Setiap sebidang jala yang saya hasilkan mempunyai 550 mata dan ia tidak boleh kurang atau lebih bagi menjamin kesempurnaan jala yang dihasilkan.

"Dari pangkal ke hujungnya ada pengiraan mata jala yang dihasilkan selain ikatan yang digunakan juga tidak sama dengan jala buatan kilang," katanya.

Menurutnya, ikatan yang digunakan biasanya fleksibel kerana apabila ikan tersangkut pada jala dan mata jala menjadi senget namun ia dapat diperbetulkan kembali seperti asal.

Katanya, oleh itu ikatan setiap mata jala juga amat penting dalam penghasilan sesebuah jala yang berkualiti.

"Menyirat jala bukan satu kerja yang mudah dan mengambil masa lama untuk disiapkan namun permintaan terhadap jala buatan tangan masih tinggi terutama bagi yang memiliki hobi menjala.

"Faktor usia tidak menghalang saya untuk terus menyirat jala selagi permintaannya ada walaupun usia semakin lanjut namun kemahiran yang ada tetap saya manfaatkan," katanya.

Naz

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 12:22 PM
Musa Mohd, 80, menunjukkan jala yang siap disirat. FOTO NAZDY HARUN
Musa Mohd, 80, menunjukkan jala yang siap disirat. FOTO NAZDY HARUN