AHMAD (kanan) ketika ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Edmund Samunting
AHMAD (kanan) ketika ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Edmund Samunting
Suzianah Jiffar dan Avila Geraldine


DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah mengesahkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman tidak mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, hari ini atas sebab-sebab tidak diketahui.

Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Ahmad Abdul Rahman ketika ditemui di perkarangan Bangunan DUN Sabah turut mengesahkan sudah dimaklumkan mengenai ketidakhadiran Musa, hari ini.

“Musa sepatutnya mengangkat sumpah pada hari ini. Pihak DUN dimaklumkan beberapa hari lalu melalui surat oleh pihak Tan Sri (Musa) bahawa beliau akan mengangkat sumpah pada hari ini, dengan masa ditetapkan pada jam 2.30 petang.

“Bagaimanapun, kami dimaklumkan menerusi panggilan (telefon) bahawa beliau tidak dapat hadir hari ini, atas sebab yang tidak diketahui. Pihak terbabit akan menghantar surat tunjuk sebab melalui emel mengenai ketidakhadiran, hari ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Musa tidak hadir pada majlis angkat sumpah ADUN sebelum ini kerana menjalani rawatan perubatan di United Kingdom, pulang ke Malaysia sejak dua hari lalu.

Berdasarkan perlembagaan negeri, Musa mempunyai tempoh sehingga 11 September depan untuk mengangkat sumpah sebagai ADUN iaitu tiga bulan selepas persidangan pertama DUN pada 11 Jun lalu.

Jika gagal mengangkat sumpah dalam tempoh itu, kerusi DUN Sungai Sibuga yang dipertahan Musa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) boleh disytiharkan kosong.

Musa yang juga dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes ugutan jenayah, ketika ini menerima rawatan susulan di sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya, Selangor.

Difahamkan, polis masih dalam proses mengambil kenyataan daripada Musa dan ia disahkan peguamnya, Amer Hamzah.

Mengenai bila Musa akan mengangkat sumpah, Ahmad berkata, pihak DUN belum dimaklumkan perkara itu.

“Berikan beliau peluang, jangan kelam kabut kerana ada masa lagi sehingga 11 September ini. Kami sebagai DUN tidak berat sebelah dan beliau berhak untuk angkat sumpah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 6:16 PM