DATUK Seri Dr Ronald Kiandee. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Dr Ronald Kiandee. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pelantikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai ejen tunggal untuk mengedarkan benih padi membolehkan penetapan harga siling benih padi sah dilaksanakan tanpa membabitkan tambahan peruntukan insentif kepada kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, kaedah itu juga bagi mengelak manipulasi benih padi sah dan harga di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang.

Selain itu, beliau berkata, pelantikan Nafas sebagai pemborong tunggal dalam program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) supaya pembekalan dapat diedarkan terus kepada pesawah.

"Pelantikan ini juga satu kaedah penyelesaian terbaik dan bersepadu memandangkan Nafas mempunyai kecekapan rantaian di mana pengedaran benih padi sah dibawah pertubuhan itu membabitkan 148 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dalam kawasan padi di Semenanjung Malaysia.

"Nafas juga akan memberi ruang kepada agen, individu atau syarikat sedia ada yang berdaftar lesen dengan kementerian untuk mengedarkan benih padi sah," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, Nafas juga mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta kemampuan dan pengalaman dalam pengedaran Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) di seluruh negara.

"Selain itu, lesen dan permit akan diberikan kepada ejen, individu atau syarikat yang berdaftar dengan kerajaan untuk mengedarkan benih padi sah dan penetapan beberapa variety benih padi sah yang akan dihasilkan oleh syarikat pengeluar benih padi sah untuk dipilih oleh pesawah.

"Nafas juga akan menyediakan stok penimbal benih padi sah bagi menangani isu seumpama ini," katanya.

Menurutnya, mekanisme penstrukturan semula keseluruhan rantaian nilai yang dilakukan kerajaan ini untuk menjamin mutu perkhidmatan di samping memberikan hak kepada pesawah untuk memilih benih padi yang terbaik bagi kegunaan sawah padi mereka.

"Pada masa sama, langkah penyelesaian ini dapat mengelakkan manipulasi benih padi sah dan harga di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang.

"Ia penting bagi mengelak dominasi syarikat pembekal tertentu terhadap pasaran benih padi sah secara khususnya dan sektor padi serta beras secara umumnya," katanya.

Katanya, kerajaan menetapkan harga jualan di premis pengeluaran benih padi sah di pintu kilang berjumlah RM28 per beg (20 kilogram setiap beg) kepada sesiapa sahaja tanpa kawalan sama ada PPK, ejen, syarikat, pelesen atau broker.

"Keadaan ini mengakibatkan manipulasi terhadap harga benih padi sah dibeli oleh pesawah melonjak kepada sekitar RM46 sehingga RM100 untuk setiap beg," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 2:17 PM