LOMBONG  fosfat batuan di Pulau Krismas, Australia pembekal utama fosfat untuk dijadikan baja sebatian padi di Malaysia.
LOMBONG fosfat batuan di Pulau Krismas, Australia pembekal utama fosfat untuk dijadikan baja sebatian padi di Malaysia.
PENGURUS Perlombongan PRL Pulau Krismas, Zainal Abdul Majid (kanan) menerangkan kepada wakil NAFAS mengenai proses mengorek tanah.
PENGURUS Perlombongan PRL Pulau Krismas, Zainal Abdul Majid (kanan) menerangkan kepada wakil NAFAS mengenai proses mengorek tanah.
BATU kapur.
BATU kapur.
KAWASAN perlombongan fosfat.
KAWASAN perlombongan fosfat.
FOSFAT sebelum melalui proses pengeringan.
FOSFAT sebelum melalui proses pengeringan.
KILANG pengeringan fosfat.
KILANG pengeringan fosfat.
ANTARA baja NPK keluaran NAFAS yang menggunakan fosfat.
ANTARA baja NPK keluaran NAFAS yang menggunakan fosfat.
PENGURUS Perkhidmatan Teknikal PRL James Keogh menerangkan operasi PRL kepada pengurusan NAFAS dan wakil media.
PENGURUS Perkhidmatan Teknikal PRL James Keogh menerangkan operasi PRL kepada pengurusan NAFAS dan wakil media.
Mohamad Hussin

Fosfat adalah antara bahan yang digunakan bagi menghasilkan baja sebatian (NPK) kerana ia mampu menggalak pembentukan akar dan menyokong pertumbuhan batang pokok padi supaya lebih kuat dan tahan lasak.

Ia sekali gus dapat mengatasi masalah pokok padi rebah disebabkan batangnya tidak kuat untuk menampung biji padi yang berat.

Di Malaysia, majoriti pesawah dibekalkan baja sebatian melalui Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) atau lebih dikenali sebagai baja subsidi sejak tahun 1979 bertujuan menggalakkan pesawah terus mengusahakan tanaman padi selain meningkatkan bekalan makanan negara.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberi amanah oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai pengeluar dan pembekal baja itu di bawah skim berkenaan.

“Bagi merealisasikan pengeluaran dan pembekalan baja berkualiti, NAFAS melalui anak syarikatnya NAFAS Baja Kimia Sdn Bhd (NBKSB) mengimport bahan mentah yang diperlukan untuk diproses.

“Antara bahan mentah utama yang digunakan dalam pembuatan baja sebatian untuk SBPKP ialah fosfat batuan (rock phosphate) atau CIRP yang diimport dari Pulau Krismas, Australia,” kata Timbalan Pengurus Besar Kanan NAFAS Nordin Ibrohim.

NAFAS membawa sekumpulan wakil media dari Malaysia ke Pulau Krismas baru-baru ini bagi meninjau lebih dekat perlombongan fosfat di pulau itu.

Nordin berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Phosphate Resources Limited (PRL) di Perth, Australia.

Hadir sama, Pengarah Urusan PRL Lai Ah Hong, Pengurus Besar NBKSB Yuslie Mohd Yusop dan Pengurus Jualan NBKSB Mohd Zamani Mansor.

Beliau berkata, urus niaga antara NAFAS dan PRL bermula sejak tahun 1992 dan sehingga kini sudah mencecah sejuta tan.

“Kelebihan penggunaan CIRP untuk menghasilkan baja sebatian ialah kandungan silikanya rendah. Secara purata tidak melebihi dua peratus berbanding pengeluar lain melebihi lima peratus.

“Kandungan kelembapan yang rendah membantu melancarkan proses penghasilan produk. Ia juga dapat membantu proses membentuk butiran baja sebatian dan menghasilkan warna baja yang tidak terlalu gelap atau terlalu cerah,” katanya.

Menurutnya, kandungan nutrien yang stabil antara satu lot dengan lot yang lain membantu memastikan bahan itu menepati spesifikasi.

“Kandungan nutrien yang stabil membantu proses penghasilan produk pada tahap optimum. Tahun lalu, lebih 150,000 metrik tan baja sebatian ini dibekalkan kepada 437,239 pesawah di seluruh negara,” katanya.

Ditanya kenapa memilih fosfat Pulau Krismas, Nordin berkata, ia berdasarkan kualiti fosfat antara yang terbaik di pasaran.

“Jarak yang dekat dengan Malaysia juga mengurangkan kos penghantaran dan sesuai dalam penghasilan baja butir kerana kadar kelekatan ketika proses pembuatan baja mampu mengurangkan kadar baja terbuang,” katanya.

Sementara itu, Lai berkata, operasi PRL di Pulau Krismas bermula pada tahun 1990 dan pihaknya mengeksport kira-kira 700,000 tan produk fosfat setiap tahun ke Australia, New Zealand, Malaysia dan Indonesia.

Beliau berkata, proses kawalan kualiti PRL bermula sebelum operasi perlombongan bermula. Sampel lubang akan di gerudi manakala setiap bijih dikumpul dan sampel dihantar ke makmal.

“Kami menggunakan kaedah perlombongan terbuka secara berbeza-beza. Tanah fosfat yang digali mengeluarkan batu kapur yang besar dan tumbuh-tumbuhan.

“Kemudian ia melalui proses pengasingan menggunakan mesin penapis untuk membuang batu besar dan kayu sebelum proses pengeringan,” katanya.

Lai berkata, rangkaian komprehensif lubang digerudi dan sampel bijih diambil di setiap lubang untuk dianalisis.

“Fosfat yang digali disimpan secara berasingan dengan setiap batuan fosfat mengandungi gred berbeza.

“Penghantaran fosfat dilakukan mengikut spesifikasi pesanan pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 12:25 PM