FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Alias Abd Rani


Muar: Seorang pekerja ladang menukar fikiran pada saat-saat akhir dengan mengaku bersalah hanya beberapa minit selepas didakwa mencabul kehormatan anak rakan sendiri di sebuah ladang sawit, dekat Yong Peng, Batu Pahat.

Tertuduh, Md Zari Md Ali, 53, yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, sebelum itu membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan dua syarat tambahan iaitu melapor diri di Balai Polis Yong Peng serta tidak mengganggu mangsa.

Sejurus kemudian, tertuduh tiba-tiba mahu menukar pengakuan bersalah dan mahkamah sekali lagi memanggil prosiding untuk membaca pertuduhan kali kedua terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Md Zari didakwa mencabul mangsa berusia 11 tahun ketika bertandang ke rumah keluarga kanak-kanak terbabit di sebuah ladang dekat Yong Peng, jam 6.30 petang, antara Ogos hingga Oktober lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama dengan penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dengan bapa mangsa adalah rakan karib dan dia kerap bertandang ke rumahnya.

Namun, tertuduh didakwa menyimpan niat tidak baik lalu mengambil kesempatan terhadap mangsa yang ketika itu berada di ruang tamu rumah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Danial memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum dengan mengambil kira pelakuan tertuduh terhadap mangsa yang juga anak rakan sendiri.

"Pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam memandangkan mangsa masih kanak-kanak," katanya.

Selepas mengambil kira pengakuan mensabitkan kesalahan itu serta hujan pihak pendakwaan, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 42 bulan serta dua sebatan dengan hukuman berkuat kuasa daripada tarikh ditangkap iaitu 10 Oktober lalu.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan selama setahun sebaik selesai menjalani hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 2:43 PM