Keadaan jalan rosak teruk di Pos Orang Asli. FOTO ARKIB NSTP
Keadaan jalan rosak teruk di Pos Orang Asli. FOTO ARKIB NSTP
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan pembinaan Jalan Perhubungan Bersepadu di Pos Orang Asli di daerah ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Sapiah Mohd Nor berkata, usaha membaiki dan menaik taraf jalan perhubungan itu sudah dilaksanakan dan akan dipercepatkan.

Katanya, pelantikan kontraktor sudah selesai dibuat dan menunggu masa pengagihan Surat Setuju Terima (SST) yang dijangka pada tahun ini atau tahun depan.

"Alhamdulillah kita harap apa yang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cakapkan untuk mempercepatkan pembinaan dan menaik taraf jalan menjadi kenyataan bagi menyelesaikan masalah pengangkutan dan perhubungan.

"Sebab isu yang besar di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Orang Asli di sini, adalah jalan perhubungan. Kalau masalah jalan perhubungan boleh diatasi, lain-lain masalah yang ditimbulkan tadi seperti pendidikan, ekonomi dan sebagainya memang boleh selesai sebab sekarang ini isunya itu saja," katanya selepas Penyerahan Bakul MADANI Kepada Masyarakat Orang Asli Galas oleh Ahmad Zahid.

Pada program itu, Ahmad Zahid turut meluangkan masa mendengar masalah dan permohonan daripada masyarakat Orang Asli.

Bagi Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng bersyukur dan gembira apabila Timbalan Perdana Menteri sudi bertemu dan mendengar masalah hampir 16,000 masyarakat Orang Asli di negeri ini.

"Kami minta permohonan jalan perhubungan bersepadu dipercepatkan dan kami mendapat respon daripada Timbalan Perdana Menteri yang mahu projek itu dijalankan pada Januari iaitu lebih cepat dua bulan daripada tarikh asal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 4:06 PM