Paya Linda Yahya

Gua Musang: Isu keciciran murid yang dibangkitkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam memastikan kesaksamaan pendidikan setiap anak bangsa disambut baik masyarakat Orang Asli di negeri ini.

Justeru komuniti orang Asli di negeri ini berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mencari inisiatif terbaik bagi membasmi keciciran dalam kalangan anak Orang Asli.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata, beliau mengakui jumlah kehadiran ke sekolah bagi masyarakat Orang Asli di pedalaman negeri ini masih rendah.

"Bagi kami yang tinggal di pedalaman, masalah jalan perhubungan adalah isu utama yang juga menjadi punca keciciran murid selain jarak ke sekolah yang sangat jauh, contohnya di Pos Gob.

"Tetapi saya tidak menafikan, pemikiran serta sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat pendidikan anak juga menjadi penyebab berlakunya keciciran dalam kalangan murid Orang Asli," katanya ketika ditemui di Pos Brooke di sini, hari ini.

Bidi Ronggeng.
Bidi Ronggeng.

Bidi turut meminta kerajaan mempertimbangkan membina sekolah khas di Pos Simpor kerana kadar keciciran anak Orang Asli di kawasan itu masih tinggi.

"Masalah utama murid Orang Asli ramai tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa berpisah daripada ibu bapa dan tinggal di asrama seawal usia tujuh tahun.

"Kita harap kerajaan dapat mencari inisiatif berkesan bagi menarik minat murid dan pelajar ini supaya mereka menyambung pelajaran sehingga ke sekolah menengah," katanya.

Muslan Alang, 68, pula berkata, walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan Kerajaan, semuanya sia-sia jika ibu bapa masih mengambil sikap sambil lewa.

"Kami akui kerajaan banyak menyumbang serta membantu Orang Asli termasuklah pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan," katanya.

Terdahulu, KPM dilaporkan terus memantau dan melakukan intervensi ke atas murid berisiko cicir supaya mereka kekal bersekolah sehingga tamat Tingkatan Lima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 11:36 AM