Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih dalam proses memilih ahli Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan akta suruhanjaya itu yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses pemilihan itu masih berjalan dan berharap ia dapat dimuktamadkan segera.

"KDN dalam proses melantik ahlinya sebab ia membabitkan perjawatan, tatacaranya dan kita akan umumkan apabila sudah dimuktamadkan.

"Serentak dengan itu (senarai ahli yang sudah dimuktamadkan), ia akan berfungsi sebagaimana ia sepatutnya berfungsi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Pada 26 Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) IPCC 2020 untuk mempertingkat integriti pasukan PDRM, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggotanya, serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis.

Sebelum dibentang di Parlimen, proses penggubalan IPCC membabitkan libat urus dengan seramai 1,059 orang, selain sesi taklimat bersama pimpinan tertinggi PDRM, persatuan bekas polis, wakil KDN serta Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

IPCC memberi fokus kepada penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan, manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut peruntukan sedia ada dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas perbandingan dibuat antara Independent Office for Police Conduct (United Kingdom) dan Independent Police Complaints Council (Hong Kong), yang mana negara berkenaan mempunyai badan pemantau bebas.

Keanggotaan IPCC terbuka kepada semua individu, termasuk penjawat awam dan pesara polis, yang dipilih berdasarkan kelayakan pengetahuan, kemahiran, pengalaman serta apa-apa perkara lain akan ditentukan kemudian.

Ditanya sama ada pihaknya sudah menentukan siapa yang bakal mengetuai suruhanjaya terbabit, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

"IPCC ini sudah berkuat kuasa 1 Julai lalu dan organisasinya sudah ada, cuma individu yang patut diisi masih dalam proses pemilihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 1:48 PM