Ahmad Fauzan Hatim bersama ahli keluarga dan peguam selepas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Ahmad Fauzan Hatim bersama ahli keluarga dan peguam selepas keputusan Mahkamah Tinggi hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Alhamdulillah...semua selesai hari ini dan saya ingin berterima kasih kepada pihak peguam yang sentiasa bersama kami sekeluarga selain pendakwaraya yang sangat profesional," kata anak bekas Exco Johor, Ahmad Fauzan Hatim, 31.

Ahmad Fauzan Hatim melahirkan kesyukuran selepas Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru membebaskan dan melepaskannya yang juga anak kepada bekas Exco kerajaan negeri, Datuk Abd Latiff Bandi dan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 50, daripada pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta pada 2017.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat menempuhi tempoh enam tahun itu dengan tabah serta keputusan mahkamah juga membolehkannya menjalani kehidupan lebih baik termasuk memberi tumpuan kepada kerjayanya sebagai ahli perniagaan.

"Saya melalui enam tahun ini dengan baik, selepas ini saya mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada perniagaan keluarga," katanya yang dilihat berpelukan bersama bapanya, Datuk Abd Latif Bandi selepas keputusan mahkamah.

Sementara itu, Amir Shariffuddin berkata, dia berharap kes berkenaan berakhir dan tidak diteruskan lagi.

"Saya harap kes ini tamat di sini, namun sekiranya pihak pendakwaan ingin membuat rayuan lagi, macam biasa, kami akan menghadapinya," katanya.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Noorhayati Mat terhadap Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes sehingga melampau keraguan yang munasabah.

Beliau berpuas hati dengan keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Sesyen pada tahun lalu dan melihat tidak berlaku sebarang kekhilafan.

"Maka, meneliti keterangan Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan dalam pembelaan mereka, saya dapati anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya dipatahkan oleh Amir Shariffuddin.

"Ahmad Fauzan juga mematahkan inferen di bawah Seksyen 4(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 dan tiada kekhilafan bagi pihak Hakim Mahkamah Sesyen dalam menerima penjelasan mereka.

"Berdasarkan alasan dan pendapat saya seperti di atas, saya berpendapat, tiada kekhilafan dari segi undang-undang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dalam membuat keputusan pelepasan ini, maka dengan ini rayuan perayu ditolak dan perintah pembebasan dan pelepasan Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di kekalkan," katanya dalam keputusan penghakimannya.

Amir Shariffuddin menghadapi 33 pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin masing-masing turut berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLA 2001.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin; Ahmad Akram Gharib; Mahadi Abdul Jumaat; Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zender Lim Wai Keong.

Sementara Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan diwakili Datuk Salehudin Saidin; Khairulazwad Sariman;Zulaikha Aini Mohd Khair Johari; Siti Sarah Khalil; Tuan Abd Rahim Ali; Ahmad Nur Awalluddin Zakaria dan Syahmi Nawawi.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Abd Latif, Amir Syariffuddin dan Ahmad Fauzan pada akhir kes pembelaan.

Rayuan difailkan terhadap ketiga-tiga tertuduh namun pada 20 Oktober lalu, rayuan terhadap Abd Latif ditarik balik dan pendakwaan meneruskan rayuan terhadap Amir Syariffuddin dan Ahmad Fauzan sahaja.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan didakwa atas pertuduhan rasuah dan pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, bagaimanapun kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 1:59 PM