Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak harta dianggarkan bernilai lebih RM6 juta milik bekas Exco Kerajaan Johor, Datuk Abd Latif Bandi, anak dan menantunya, selain syarikatnya.

Jumlah pelucutan hak harta itu termasuk dimiliki responden kes itu membabitkan ejen hartanah, Amir Shariffuddin Abd Rauf dan keluarganya.

Semua harta berkenaan membabitkan 19 kereta mewah seperti Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Porsche Cayenne, Nissan Skyline, Toyota Vellfire dan Honda HRV.

Selain itu, ia turut membabitkan 16 jam tangan mewah, 15 beg tangan mewah, 15 item barangan kemas, selain mata wang Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan SPRM itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei 2019, yang menolak permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan semua harta disita perlu dikembalikan kepada pemilik berdaftar.

Abu Bakar ketika membacakan penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti semua rekod rayuan serta memperhalusi hujahan lisan serta bertulis semua pihak.

"Hakim Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya terkhilaf apabila gagal menimbangkan permohonan di bawah Seksyen 41 (1) Akta SPRM, menjurus kepada harta-harta yang disita dan bukannya keperluan pendakwaan terhadap responden.

"Mahkamah ini berpendapat harta-harta dalam rayuan ini tidak berkaitan dengan pertuduhan jenayah terhadap Datuk Abd Latif Bandi, Amir Shariffuddin Abd Rauf dan Mohd Fauzan Hatim Abd Latif.

"Mahkamah juga berpendapat perayu telah membuktikan semua harta yang terbabit diperolehi daripada hasil haram iaitu rasuah. Mahkamah juga berpuas hati tiada pembelian suci hati dengan balasan berharga berkaitan semua harta terbabit.

ABD Latif (tengah) hadir bersama peguam Abd Rahim Ali di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ABD Latif (tengah) hadir bersama peguam Abd Rahim Ali di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan perayu terhadap semua responden dan membenarkan semua permohonan perayu untuk melucut hak semua harta terbabit," katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat manakala peguam, Abd Rahim Ali mewakili Abd Latif, Amir Shariffuddin Abd Rauf, Mohd Fauzan dan Nur Shaliza Mohd Salleh, yang juga menantu Abd Latif dan isteri Fauzan.

Peguam kemudian memohon supaya arahan pelucutan hak harta itu ditangguhkan, bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan.

Namun, hakim memerintahkan pihak pembelaan supaya menghantar permohonan penangguhan arahan pelucutan hak harta itu secara rasmi, bagi membolehkan satu prosiding lain dilakukan bagi mendengar hujahan.

Pada 27 Mei 2019 Mahkamah Sesyen, dilaporkan menolak permohonan SPRM untuk melucutkan hak harta milik Abd Latif , anak dan menantunya.

Namun pada 6 November lalu, Mahkamah Tinggi dilaporkan memerintahkan Abd Latif membela diri terhadap 33 pertuduhan rasuah dan empat dakwaan pengubahan wang haram, empat tahun lalu.

Arahan bela diri atas pertuduhan sama itu turut membabitkan anak lelakinya, Mohd Fauzan dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar dilaporkan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, selain mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 21 April 2019 yang melepaskan dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 12:13 PM