GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan meneruskan siasatan susulan bagi mengenalpasti punca pencemaran bau seakan diesel yang dikesan di muka sauk loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang, semalam.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan dijalankan LUAS semalam meliputi beberapa kawasan antaranya lokasi pengorekan pasir, aktiviti pembangunan berhampiran dan Jambatan Sungai Sembah.

"Hasil siasatan dan pensampelan di lokasi yang dikenal pasti ini menunjukkan bacaan bau kosong ton dan tiada kesan minyak dikesan.

"Insiden ini berpotensi disebabkan oleh faktor kuantiti minyak yang minimum dan bersifat sementara masuk ke Sungai Selangor.

"Justeru, siasatan susulan mengenalpasti punca diteruskan hari ini dan sampel-sampel yang diambil sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selepas menerima maklumat daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengenai bau seakan diesel sehingga bacaan tiga ton, tindakan segera dilaksanakan dengan meletakkan 'oil boom' di muka sauk LRA.

Katanya, LUAS juga mengaktifkan pelepasan air daripada HORAS 600 sebanyak 300 juta liter sehari (JLH) dan sebanyak 290 JLH daripada kolam alternatif di Bestari Jaya dengan jumlah keseluruhan 590 JLH ke Sungai Selangor bermula jam 12 tengah malam bagi meningkatkan faktor pencairan (dilution factor) sungai.

"Tiga pintu baraj Bestari Jaya juga sudah dibuka bagi tujuan 'flushing' segera aliran ke hilir muka sauk.

"Pihak Air Selangor juga mempertingkatkan kekerapan pensampelan bau setiap 30 minit di muka sauk LRA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 11:08 AM