Penternak dan pengeluar yam Kedah harap subsidi dapat dikembalikan. FOTO Persatuan Penternak Ayam Kedah
Penternak dan pengeluar yam Kedah harap subsidi dapat dikembalikan. FOTO Persatuan Penternak Ayam Kedah
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penternak ayam dan pengeluar telur di negeri ini berharap kerajaan meneruskan pemberian subsidi bagi memastikan bekalan dan harga barang keperluan itu stabil.

Setiausaha Persatuan Penternak Ayam Kedah P Ravintharan, berkata penghapusan subsidi akan memberi kesan kesan buruk kepada rantaian bekalan ayam sekali gus akan memberi kesan kepada pengguna.

Ini kerana katanya, penternak perlu mengurangkan pengeluaran mereka untuk mengurangkan kos operasi yang tinggi.

"Kerajaan perlu bantu untuk lanjutkan subsidi sebab kos menternak ayam semakin meningkat, kalau tak dibantu akan membebankan penternak.

"Mungkin ada yang terpaksa kurangkan pengeluaran. Sebagai contohnya, ketika ini ada pusingan dalam tempoh setahun, mungkin lepas ini akan jadi kepada empat pusingan sebab kos makanan, gaji, elektrik dan ubat meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai subsidi ayam yang akan diputuskan kerajaan dalam masa terdekat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jualan yang kini mula dipasarkan di bawah harga siling serta bekalan di pasaran yang semakin stabil.

Mengulas lanjut, Ravintharan berkata kos yang tinggi juga menyebabkan ramai penternak kecil dan sederhana terjejas sejak pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.

Katanya, sebelum pandemik harga sekampit dedak 50 kilogram hanya RM85 sekarang ia mencecah RM135 sekilogram.

"Terdapat pengurangan antara RM1 hingga RM2 dedak sejak kebelakangan ini tapi masih tinggi antara 50 hingga 60 peratus berbanding sebelum pandemik.

Tambahan pula, penternak kecil dan sederhana terikat dengan kontrak dengan syarikat integrator.

"Walaupun kerajaan beri subsidi 80 sen setiap kilogram, 70 sen dibayar kepada syarikat integrator iaitu syarikat besar yang bekalkan anak ayam, input dedak kepada penternak. Penternak hanya dapat 10 sen sahaja bagi setiap kilogram," katanya.

Selain itu katanya, penghapusan subsidi juga boleh memberi risiko kepada pengurangan kualiti makanan ayam untuk menjimatkan kos.

Katanya, keadaan itu akan memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada pengeluar ayam.

"Jika bekalan kurang, harga ayam akan meningkat sekali lagi sebab penawaran berkurangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 12:56 PM