Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Penternak ayam di daerah ini terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit dan berdepan risiko gulung tikar susulan terbeban dengan kos operasi yang semakin meningkat terutama kenaikan harga dedak ayam ketika ini.

Pengerusi Persatuan Penternak Manjung Tan Wooi Perng berkata, mereka berdepan dengan kenaikan harga makanan ayam setiap bulan dengan keseluruhan RM33 dalam tempoh dua tahun, selain kekangan tenaga kerja asing di ladang ternakan dan kos bekalan elektrik bagi reban sistem tertutup.

Katanya, kawalan harga ditetapkan kerajaan bagi harga ladang untuk sekilogram ayam adalah RM5.60 bermula Disember lalu hingga Jun depan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos operasi yang membebankan.

"Harga dedak ayam meningkat sejak pandemik Covid-19 dari RM80 satu beg menjadi RM120 hingga RM125 bergantung kepada kuantiti dan jenama. Seekor ayam seberat dua kilogram (kg) memerlukan empat kg makanan bagi tempoh 35 hari mencapai tempoh matang untuk dijual.

"Harga ladang ditetapkan adalah RM5.60 tetapi kalau diikutkan harga kos operasi adalah RM6.10 dan RM6.20 sekilogram, itu belum termasuk kos lain lagi.

"Pengeluaran ayam adalah dua juta sehari dan kami terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2 untuk seekor ayam, jadinya sehari rugi RM4 juta," katanya ketika ditemui di Ayer Tawar di sini, hari ini.

TAN Wooi Perng menunjukkan harga ayam yang ditetapkan sehingga Jun ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
TAN Wooi Perng menunjukkan harga ayam yang ditetapkan sehingga Jun ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Tan berkata, justeru pihaknya berharap kerajaan dapat memberikan subsidi dedak ayam kerana perbelanjaan makanan meliputi 70 peratus kos pengoperasian ternakan ayam.

Katanya, apabila kerajaan membantu memberi subsidi, penternak sudah boleh menarik nafas lega untuk menjual ayam pada harga ladang yang ditetapkan iaitu RM5.60.

Sementara itu, ahli persatuan yang juga Pengarah Urusan Harumi Brands Sdn Bhd, Datuk Alex Ding Seng Huat berkata, dia berharap kerajaan dapat menyegerakan pemberian subsidi dan mencari formula terbaik dalam isu berkenaan supaya penternak tidak terus menanggung kerugian.

Menurutnya, kawalan harga ayam juga perlu diselaraskan dengan harga dedak dan tiada kenaikan harga makanan haiwan itu supaya ia lebih adil kepada penternak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 2:44 PM