Nor Amalina Alias


Bachok: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemudu (KADA) mengagihkan 32,000 kampit beras putih tempatan (BPT) bagi mengatasi kekurangan bekalan dalam pasaran.

Bagi tindakan itu, sebanyak 320 metrik tan BPT diagihkan ke 13 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bermula hari ini.

Pengerusinya, Muhammad Hussin berkata, langkah itu adalah pelan intervensi pengedaran BPT KADA untuk memastikan beras sentiasa ada di pasaran.

Katanya, untuk peringkat pertama pihaknya menerima 32 metrik tan BPT daripada pengilang dan akan mengagihkan dua tan setiap PPK bersamaan 200 kampit beras.

"PPK Sri Gunong menjadi pengedar utama beras dan dipasarkan di kedai-kedai milik PPK.

"Langkah ini akan berterusan sehingga bekalan BPT kembali stabil," katanya ketika ditemui dalam Majlis Jualan BPT KADA di PPK Sri Gunong, Bachok, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar KADA, Mohd Faizul Mustafa dan Jemaah Ahli Lembaga Pengarah PPK Sri Gunong, Mohd Radzuan Hamat.

PPK Sri Gunong turut bertindak sebagai perolehan sumber bekalan, stor penyimpanan dan mengedar beras kepada PPK seliaan KADA membabitkan lima jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tumpat dan Pasir Mas.

Muhammad berkata, beras dijual mengikut harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM26 bagi berat 10 kilogram sekampit.

Sebagai jelapang padi kedua terbesar negara, KADA memiliki 26,833 hektar padi yang diusahakan petani.

Katanya, hasil tuaian bersih padi bagi musim 2/2022 lalu, KADA memperoleh 120,000 tan bersamaan 60,000 metrik tan beras.

"Jumlah ini bersamaan enam juta kampit beras yang disediakan kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata, peratus penanaman padi KADA juga mencapai 90 peratus daripada keluasan sebenar.

Bagi musim 1/2023, Muhammad memaklumkan KADA sudah mencapai 92 peratus proses selesai penanaman padi dan berharap hasil lebih meningkat pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 1:32 PM
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengagihkan 320,000 metrik tan beras putih tempatan (BPT) di 13 Pertubuhan Pelandang Kawasan (PPK) seliaan KADA membabitkan jajahan Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat dan Pasir Mas bagi langkah intervensi mengatasi kekurangan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran. FOTO Nor Amalina Alias
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengagihkan 320,000 metrik tan beras putih tempatan (BPT) di 13 Pertubuhan Pelandang Kawasan (PPK) seliaan KADA membabitkan jajahan Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Tumpat dan Pasir Mas bagi langkah intervensi mengatasi kekurangan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran. FOTO Nor Amalina Alias