CHAN Foong Hin. FOTO Ahmad Ukasyah.
CHAN Foong Hin. FOTO Ahmad Ukasyah.
Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (Op BPT) setakat ini mengesan empat kes berkaitan aktiviti menyorok dan memanipulasi beras putih tempatan (BPT).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, ia hasil pemeriksaan selama tiga hari dijalankan anggota Op BPT ke atas 28 kilang padi dan 18 pemborong di Kedah.

Hasil pemeriksaan itu juga, katanya, sebuah kilang disita di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) selepas disyaki menyorok BPT seberat 180 metrik tan.

"Kita adakan pemeriksaan di 28 kilang padi dan 18 pemborong. Hasil pemeriksaan sudah hasilkan dua kes, termasuk kes 180 metrik tan beras itu. Tambahan dua kes baharu, kita jumpa kelmarin.

"Jadi, hasil keseluruhan pemeriksaan itu, dua kes di bawah Akta 522 dan dua kes lagi di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972. Jadi ada empat kes semuanya," katanya pada sesi Kamar Khas di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Chan berkata, Op BPT tidak hanya bertumpu di Kedah, sebaliknya akan diperluas ke seluruh negara dan berlangsung dari semasa ke semasa.

"Kalau sebulan tak habis ke semua sasaran, kita akan teruskan. Kita ada sasaran kilang dan pemborong. Ini operasi, oleh kerana namanya pun operasi, tak boleh dedahkan, tapi kita memang ada sasaran.

"Operasi bukan sengaja mula di Kedah, tapi sebab Kedah negeri jelapang padi. Yang di Johor jangan risau, mesti akan sampai," katanya.

Terdahulu, usul di Kamar Khas itu dibentangkan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari susulan kes membabitkan sitaan sebuah kilang di Kedah yang didapati menyorok bekalan beras dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Dalam operasi itu, didapati beras bergred Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) atau BPT itu ditemukan di dalam kampit jumbo, dianggarkan bernilai RM405,000.

Menurut Chan lagi, jabatan terlibat Op BPT seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) sudah diberi kuasa di bawah Akta 522 untuk mengambil tindakan sewajarnya, terutama pemeriksaan dan serbuan.

"Ini selepas kita mengambil langkah drastik, di mana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu) sudah mengarahkan penurunan kuasa Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) kepada anggota penguat kuasa rentas jabatan yang terbabit dalam taskforce ini.

"Penurunan kuasa dibuat berdasarkan Akta 522. Inilah punca kuasanya. Dalam tempoh masa satu bulan, taskforce ini akan mengenal pasti sama ada tuduhan berlakunya sorokan atau tukar kampit ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 5:12 PM