SYED Abu Hussin Hafiz (kanan) ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia(PeSAWAH) Allahyarham Muhamad Fuad Yaccob di rumahnya di Alor Janggus. FOTO Noorazura Abdul Rahman
SYED Abu Hussin Hafiz (kanan) ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia(PeSAWAH) Allahyarham Muhamad Fuad Yaccob di rumahnya di Alor Janggus. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara diberi amaran terakhir agar memastikan beras putih tempatan (BPT) berada di pasaran dengan kadar segera.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ketiadaaan BPT di pasaran menyebabkan rakyat memandang sinis arahan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ini kerana Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood sebelum ini memberi jaminan 14 juta kampit BPT berharga RM26 untuk 10 kilogram (kg) akan berada di pasaran pada bila-bila masa.

"Nampak kegagalan jentera kerajaan, bahagian yang bertanggungjawab dalam mengedarkan beras (BPT) ini dan dia berjanji dalam mesyuarat NACCOL sudah hampir dua minggu (tapi) tak berjalan.

"Sepatutnya Ketua Setiausaha Negara (KSN) mengambil tindakan segera supaya tukar mana-mana pegawai tidak efisien dan tatakelolanya tak betul, ganti dengan pegawai yang baru supaya dapat dilaksanakan dengan segera. Ini penting dalam sistem 'delivery' kerajaan.

"Ini amaran terakhir, tidak ada tempoh lagi kerana tempoh diberikan sudah berlalu. Kita tidak mahu tuduh mana-mana pihak tetapi kalau mereka yang dipertanggungjawabkan gagal buat kerja, ambil tindakan supaya isu beras ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Terdahulu, beliau menziarahi keluarga Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Allahyarham Muhamad Fuad Yaccob, 64, di rumahnya di Alor Janggus, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang turut menyerahkan sumbangan Anwar kepada isteri Allahyarham, Che Gayah Rejab, 61.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, bahagian berkenaan perlu memberi penjelasan segera mengenai jumlah kampit beras yang diedarkan di seluruh negara setakat ini berikutan pihaknya mendapati BPT masih belum kelihatan.

"Kita minta supaya bahagian kawal selia padi menjelaskan secara terperinci berapa banyak beras (yang ada), di kilang mana dan berapa banyak yang diedarkan, di pasar raya mana supaya rakyat yang ternanti-nanti menjelang Hari Raya Aidilfitri nak beli BPT murah RM26.

"Sebab ini adalah masalah orang ramai, semua rakyat menanti-nanti keputusan (arahan) Perdana Menteri untuk dilaksanakan, ini bukan isu jabatan atau isu bahagian, tetapi adalah isu rakyat keseluruhan untuk melihat BPT RM26 sekampit berada di pasaran.

"Kita bimbang rakyat marah, jadi kita haraplah supaya segera menyelesaikan masalah ini sebab dijanjikan ada 14 juta kampit BPT, tapi tak sampai, itu saja isunya di mana perginya beras ini," katanya.

Sebelum ini, Mesyuarat NACCOL dipengerusikan Anwar pada 20 Mac lalu memutuskan empat perkara untuk mengatasi isu beras.

Antara tindakan itu termasuk semua stok semasa padi dan beras yang dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik diproses serta dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan serta-merta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 3:42 PM