Pendakwah selebriti, PU Azman bersama peguamnya, Muhammad Fairuz Iskandar Zainal Abidin hadir di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang fizikal dan komunikasi seksual terhadap seorang remaja lelaki pada Julai dan Ogos tahun lalu.
Pendakwah selebriti, PU Azman bersama peguamnya, Muhammad Fairuz Iskandar Zainal Abidin hadir di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang fizikal dan komunikasi seksual terhadap seorang remaja lelaki pada Julai dan Ogos tahun lalu.
Suraya Roslan


Ampang: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan membabitkan pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman atas dua pertuduhan melakukan amang fizikal dan komunikasi seksual terhadap seorang remaja lelaki pada Julai dan Ogos tahun lalu.

Hakim Norhazani Hamzah menetapkan tarikh perbicaraan selama enam hari pada prosiding sebutan semula kes hari ini.

"Tarikh yang ditetapkan adalah 8, 9, 23, 29 dan 30 Mei serta 4 Jun 2024," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurhashimah Hashim berkata, pada sebutan kes di Mahkamah Sesyen Klang 4 September lalu, kes komunikasi seksual di sana sudah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

"Kami mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) supaya kedua-dua pertuduhan dibicara sekali dan pengurusan kes ditetapkan pada 2 April 2024," katanya.

Susulan itu, peguam Muhammad Fairuz Iskandar Zainal Abidin yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan tiada sebarang bantahan berhubung permohonan itu.

Norhazani kemudian membenarkan kes di Klang dibicarakan bersama dan kemudian menetapkan 21 November ini bagi satu lagi sebutan kes untuk pengesahan serahan dokumen kes di Mahkamah Sesyen Klang kepada mahkamah di sini.

Sementara itu, Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 42, ketika mengulas perkembangan terkini berkata, dia masih lagi aktif menyampaikan ceramah atas jemputan di Perak dan Selangor, selebihnya program bersifat peribadi.

"Doakan Cik Man, perkembangan terkini macam biasa, masih buat content (kandungan di media sosial) macam biasa," katanya ketika ditemui media selepas prosiding di mahkamah hari ini.

Ditanya adakah terdapat pihak yang menarik balik kerjasama bersamanya, pendakwah bebas itu berkata, dalam situasi sekarang beliau tidak dapat memikirkan perkara itu.

Azman menghadapi 12 pertuduhan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang dan dua kes di Mahkamah Shah Alam.

Penceramah yang popular dengan nama Cik Man itu dihadapkan kali pertama ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober tahun lalu atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau di rumah di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.

Azman kemudian dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Disember tahun lalu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun di bilik resort di Hulu Langat, 22 Julai tahun lalu.

Di Klang, Cik Man didakwa atas tuduhan menggalakkan remaja lelaki yang sama untuk berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi Whatsapp di sebuah rumah di Kampung Meru, Klang antara 4 petang hingga 7.30 petang pada 16 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 11:45 AM