PU Azman. FOTO arkib NSTP
PU Azman. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Ampang: Sebutan kes amang seksual membabitkan Pencetus Ummah (PU) Azman ditangguhkan selepas pendakwah selebriti itu dan peguamnya tidak hadir dalam sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mahkamah dimaklumkan pihaknya sudah menghantar e-mel dan telefon berulang kali memaklumkan sebutan kes hari ini namun tidak menerima maklum balas mereka.

Perkara itu dimaklumkan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norhazani Hamzah yang kemudian menetapkan tarikh baharu iaitu 4 Oktober ini untuk sebutan kes.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memaklumkan kes pertuduhan seksual dihadapi Azman atau nama sebenar Azman Syah Alias, 43, dari Mahkamah Klang sudah dipindahkan ke mahkamah di sini pada 4 September lalu.

Azman yang juga dikenali sebagai Cik Man menghadapi 12 pertuduhan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang dan dua kes di Mahkamah Shah Alam.

Pendakwah itu dihadapkan kali pertama ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober tahun lalu atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau di rumah di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.

Azman kemudian dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Disember tahun lalu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun di bilik resort di Hulu Langat, 22 Julai tahun lalu.

Beliau turut berdepan empat lagi pertuduhan di dua mahkamah lain berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang lagi remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 12:40 PM