AHMAD Zahid dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Zahid dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebarang isu berkaitan rombakan Kabinet tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Jemaah Menteri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, biarpun tular pelbagai khabar angin berhubung perkara itu, rombakan Kabinet adalah hak prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Perdana Menteri dalam beberapa wawancara (sebelum ini) menyebutkan bahawa parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan dirundingi terlebih dahulu, atau sekurang-kurangnya dimaklumkan.

"Setakat jam 5 petang tadi, belum ada tanda Perdana Menteri memanggil sekurang-kurangnya saya sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk dimaklumkan mengenai perkara itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia di sini, hari ini

Terdahulu sebuah portal berita dalam talian melaporkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan rombakan Kabinet esok, selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, Perdana Menteri akan membuat pengumuman terbabit esok kerana beliau akan berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khamis ini, untuk lawatan rasmi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana sehingga kini masih belum ada sebarang perbincangan berhubung rombakan Kabinet.

"Saya pun dengan khabar angin yang bermacam-macam, namun Perdana Menteri tak pernah cakap (apa-apa pun), belum berbincang lagi," katanya.

Berhubung kenyataan Pas untuk tidak merayu keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kemaman yang mungkin akan menjurus kepada pilihan raya kecil, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membuat pengumuman rasmi sama ada akan meletakkan calon atau sebaliknya.

Katanya, sebagai parti yang bermaruah, biarpun sekadar mampu mengurangkan majoriti undi, itu sudah cukup baik.

"BN berada dalam kedudukan kedua berbanding parti lain dalam Kerajaan Perpaduan. (Semua sudah tahu) majoriti diperoleh bekas Ahli Parlimen (Pas pada pilihan raya umum lalu), sebanyak 27,000 undi.

"Jadi sebagai parti bermaruah ataupun potensi (untuk menang) kelam, dapat kurangkan majoriti pun sudah cukup baik. Namun, saya akan buat pengumuman rasmi apabila tiba masanya," katanya.

Pas hari ini memutuskan tidak akan memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya yang diputus Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu bagi Parlimen Kemaman.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilapor berkata justeru, Pas kini menunggu dan bersiap sedia untuk mengambil langkah selanjutnya.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamidi yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 6:28 PM