Pengurus dan penyelia sebuah syarikat ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung insiden pelupusan bahan buangan terjadual secara haram dekat Seelong Jaya di sini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Pengurus dan penyelia sebuah syarikat ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung insiden pelupusan bahan buangan terjadual secara haram dekat Seelong Jaya di sini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein


Kulai: Pengurus dan penyelia sebuah syarikat ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung insiden pelupusan bahan buangan terjadual secara haram dekat Seelong Jaya di sini, semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas membenarkan permohonan dibuat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Reman yang dibenarkan ke atas kedua-dua suspek sehingga Jumaat ini membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas mereka mengikut Seksyen 16, Seksyen 24 dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Terdahulu, kedua-dua suspek lelaki itu tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dengan diiringi pegawai JAS Johor.

Turut hadir, Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff.

Semalam, pengurus syarikat berusia 58 tahun dan penyelianya berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah premis pemerolehan kembali bahan buangan terjadual di Kampung Seelong Jaya di sini, jam 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 1:34 PM