JAS Johor membuat operasi bersama PDRM di kawasan Senai, yang menjumpai longgokan plastik kegunaan industri pada 10 Jun lalu. FOTO IHSAN Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man
JAS Johor membuat operasi bersama PDRM di kawasan Senai, yang menjumpai longgokan plastik kegunaan industri pada 10 Jun lalu. FOTO IHSAN Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man
Omar Ahmad

Johor Bahru: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor menafikan kewujudan tapak pelupusan buangan terjadual di Senai dekat sini.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, susulan aduan dari masyarakat setempat pada 10 Jun lalu, pihaknya bersama polis membuat pemeriksaan di kawasan itu pada keesokan harinya.

Katanya, hasil pemeriksaan menyeluruh kawasan tanah lapang berkenaan mendapati ada longgokan plastik hasil kegunaan industri di beberapa tempat.

"Selain itu plastik berkenaan juga disimpan dalam kira-kira 80 guni besar tetapi tiada pembuangan toksik di kawasan terbabit ditemukan.

"Berdasarkan siasatan juga, kawasan itu dijadikan hub pengumpulan sisa plastik sebelum dijual kepada pihak ketiga.

"Selain plastik, terdapat beberapa sisa lain yang dikumpulkan seperti kayu palet dan kertas gulung," katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Famey, dalam pada itu aduan berkenaan akan dirujuk ke agensi berkaitan supaya satu langkah pencegahan dapat diambil di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.

"Mana-mana premis yang didapati menempat dan meletakkan apa apa jenis buangan terjadual adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memuatnaik di laman sosial rasmi beliau memaklumkan susulan daripada aduan awam, JAS dan polis memeriksa lokasi pelupusan buangan terjadual di Senai, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 7:07 PM