JAS mengeluarkan kompaun terhadap dua kilang berasaskan logam di kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, Johor Bahru. FOTO Ihsan JAS JOHOR
JAS mengeluarkan kompaun terhadap dua kilang berasaskan logam di kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, Johor Bahru. FOTO Ihsan JAS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Dua kilang berasaskan logam di kawasan Perindustrian Desa Cemerlang, di sini, dikenakan kompaun RM12,000 atas kesalahan pengurusan buangan terjadual.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengeluarkan kompaun itu terhadap kedua-dua kilang tersebut ketika operasi penguatkuasa hari ini.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, pihaknya mengeluarkan enam kompaun bernilai RM12,000 terhadap kilang tersebut.

Katanya, hasil siasatan mendapati, dua premis kilang itu gagal mematuhi daripada segin penstoran, pelabelan, notifikasi dan menyebabkan tumpahan buangan berjadual.

"Kompaun dikeluarkan itu hasil pemantauan unit penguatkuasaan industri JAS Johor dalam memastikan Akta 127 dan Akta 342 dipatuhi.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap premis sekiranya didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, pengusaha kilang diingatkan supaya peka mengenai kaedah pelupusan bahan terjadual yang dibenarkan.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, kebanyakan kes ini adalah mereka (kilang) tidak memberi maklumat tepat bagaimana mereka melupuskan bahan terjadual. Perkara ini penting untuk kita (JAS) pastikan bagaimana bahan ini dibuang.

"Ia bagi memastikan tidak berlaku pembuangan sisa secara haram, sekali gus mengakibatkan pencemaran ekosistem yang boleh membahayakan orang awam atau habitat semula jadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 6:09 PM