ALLAUDEEN menunjukkan gambar suspek warga Sri Lanka yang dikehendaki dalam kejadian kes bunuh dalam sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
ALLAUDEEN menunjukkan gambar suspek warga Sri Lanka yang dikehendaki dalam kejadian kes bunuh dalam sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua suspek utama yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan tiga warga Sri Lanka, di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Jumaat lalu, masih dalam negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya kini giat memburu kedua-dua suspek berkenaan.

"Setakat ini, dua individu yang juga suami isteri warga Sri Lanka masih ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Motif kejadian belum dikenal pasti memandangkan suspek utama masih belum ditahan, namun kita percaya dapat menyelesaikan kes ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Allaudeen turut menafikan kejadian berkenaan adalah berkaitan dengan konflik di negara asal mereka.

"Siasatan awal menunjukkan memang tidak ada kaitan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sabtu lalu, media melaporkan polis menemui tiga mayat warga Sri Lanka di bilik stor.

Ketiga-tiga mayat itu diletakkan dalam keadaan bertindan, diikat kaki dan tangan, manakala kepala mereka ditutup dengan plastik.

Salah satu mayat itu ditemui dalam keadaan bogel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 4:50 PM