LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki warga Sri Lanka berusia 43 tahun yang ditahan atas dakwaan kesalahan membunuh, mengalami sakit dada ketika di Lokap Berpusat Jinjang di sini, sebelum disahkan meninggal dunia, malam tadi.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad berkata, pada 23 September lalu, seorang orang kena tahan (OKT) lelaki ditangkap mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan ditahan di Lokap Berpusat Jinjang, untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, pada 11 malam tadi, OKT mengadu mengadu sakit dada dan pihak hospital segera dihubungi.

"Penolong pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), hadir memberi rawatan awal dan mengesahkan kematian.

"Bedah siasat akan dijalankan di HKL untuk mengetahui punca kematian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azri berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes terbabit.

Pada 23 September lalu, Harian Metro melaporkan, mayat tiga lelaki ditemui dalam keadaan kaki dan tangan diikat serta kepala ditutup menggunakan plastik dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul, di sini.

Dua suspek dikehendaki berhubung kejadian bunuh tiga warga Sri Lanka itu ditahan ketika bersembunyi di dalam hutan sekitar Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 2:42 PM