Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: Faktor politik dan tidak puas hati dipercayai menjadi punca Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia Ibrahim Sahib Ansar diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan motif serangan dilakukan warga tempatan itu berasaskan dua faktor berkenaan.

Katanya, sebelum ini pihaknya menerima 47 laporan membantah kehadiran bekas Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa ke negara ini bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia.

“Semua laporan diterima menjurus kepada bantahan terhadap kehadiran bekas Presiden terbabit selain ada hubungan dengan kumpulan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

“Bagaimanapun, pasukan khas polis Selangor yang ditubuhkan bagi menyiasat perkara ini menahan lima lelaki disyaki terbabit dalam serangan berkenaan. Tiga daripada suspek ditahan di Sungai Siput manakala dua lagi Selangor iaitu masing-masing di Rawang dan Dengkil.

“Semua suspek berusia 25 hingga 36 tahun direman tiga hari sehingga esok (hari ini),” katanya pada sidang media majlis perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.

Abdul Samah berkata, polis sedang mengesan empat lagi suspek disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

Ahad lalu, Ibrahim diserang sekumpulan warga tempatan selepas menghantar Menteri Industri Utama Sri Lanka, Daya Gamage di KLIA.

Kejadian menyebabkan mangsa lebam di muka dan badan dan dihantar ke Hospital Gleneagles untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 10:52 AM