Melaka: Sebanyak 2,408 kes berkaitan sindiket penipuan cinta Internet atau ‘Love Scam’ direkodkan di negara ini sejak Januari 2014 hingga November tahun ini membabitkan kerugian lebih RM240 juta.

Timbalan Pengarah Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Wira Hamza Taib berkata, statistik itu merekodkan peningkatan akibat sikap mangsa yang mudah percaya dengan janji sindiket.

“Jumlah kerugian direkodkan sejak awal Januari ini hingga November lalu amat membimbangkan, ia berjumlah lebih RM194 juta membabitkan 1,380 kes.

“Jumlah kes sepanjang Januari ini hingga November lalu meningkat 352 kes berbanding tempoh sama pada 2014 iaitu 1,028 kes. Antara negeri yang mencatatkan kes tertinggi membabitkan sindiket Love Scam pada tahun ini adalah Selangor dengan 314 kes diikuti 219 kes di Kuala Lumpur dengan jumlah kerugian lebih RM132 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama polis Republik Singapura di Melaka Raya, di sini, semalam.

Hamza berkata, jenayah siber saban hari semakin kompleks apabila 90 peratus daripada jumlah kerugian dibawa ke luar negara iaitu ke Nigeria dan jika tidak dibendung, lebih ramai akan menjadi mangsa.

“Aliran penjenayah sekarang bukan saja membabitkan Love Scam, malah menggodam sistem komputer baik melalui e-mel persendirian atau syarikat.

“Ahli sindiket akan mendapatkan perisian komputer dari pasaran gelap untuk menggodam mana-mana e-mel yang boleh mendatangkan hasil kepada mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 8:46 AM