Muhamad Lokman Khairi


Manjung: "Saya beratur sejak jam 6 pagi tadi bagi pastikan dapat beli beras dengan hanya RM1," kata Siti Nordiyana Kassim.

Suri rumah dari Taman Samudera itu menjadi individu pertama yang beratur untuk membeli sekampit beras import lima kilogram (kg) pada program Jualan Gegar Misi Rakyat di padang Kampung Datuk Seri Kamaruddin di sini, bermula 9 pagi hari ini.

Siti Nordiyana, 25, berkata, selepas mengetahui program terbabit melalui media sosial semalam, dia sudah bersiap sedia awal pagi tadi.

"Saya datang awal kerana tak mahu terlepas peluang membeli beras dengan harga murah. Sekarang harga beras mahal dan saya tak mampu nak beli," katanya yang memaklumkan suaminya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan tidak tetap.

Bagi warga emas, Halijah Kassim, 65, mengakui terkejut dan sangsi dengan jualan beras RM1 itu pada awalnya kerana dikhuatiri tidak benar.

"Saya cuma percaya selepas ketua kampung maklumkan memang akan ada jualan beras sekampit RM1. Alhamdulillah, program ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kewangan banyak keluarga di kampung ini.

"Saya harap harga beras tempatan kembali seperti dulu dengan segera. Harga beras melambung ketika ini memang membebankan lagi-lagi bagi keluarga yang besar.

"Satu perkara lagi, stok beras putih tempatan langsung tiada di pasaran," katanya yang tiba seawal jam 7.50 pagi tadi.

Sebanyak 1,000 kampit beras import 5kg anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Misi Rakyat habis terjual dalam tempoh 30 minit saja.

Bagi Suraya Ibrahim, 42, yang berasal dari Ayer Tawar berkata, dia sanggup ke lokasi jualan walaupun terletak kira-kira 19 kilometer (km) dari rumahnya demi bertahan kelangsungan makanan ruji berkenaan sementara menunggu hari gaji suami.

"Sepanjang hampir dua minggu isu harga beras ini, saya belum pernah beli lagi di pasaran kerana tak mampu.

"Terima kasih pada pihak yang menganjurkan jualan hari ini, dapatlah dua anak di rumah makan sementara hari gaji suami pada hujung bulan ini," kata suri rumah itu.

Sementara itu, pengasas Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi, 32, berkata, pihaknya mensasarkan jualan beras berkenaan kepada mereka yang memerlukan.

"Kita faham bahawa ada keluarga susah yang terpaksa catu makanan dan tiada wang, oleh sebab itu kita hanya jual dengan harga RM1. Kita sebenarnya bukan hendak duit, tapi hendak pastikan mereka dapat bawa balik beras beri makan pada keluarga walau di poket cuma ada RM1.

"Hari ini juga, kita menyumbangkan 120 kampit beras secara percuma kepada penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu hamil dan warga emas.

"Kita akan anjurkan jualan beras sebegini di Kedah pada Selasa ini, lokasi akan diberitahu di media sosial Founder Misi dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 11:54 AM
NUR Ahmad Faiz (kanan) pada Jualan Gegar Misi Rakyat di padang Kampung Datuk Seri Kamaruddin di sini, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi
NUR Ahmad Faiz (kanan) pada Jualan Gegar Misi Rakyat di padang Kampung Datuk Seri Kamaruddin di sini, hari ini. FOTO Muhamad Lokman Khairi