HIDAWATI dan anaknya (dari kiri) Syawal, Salma serta Syahmi seronok jadi badut.
HIDAWATI dan anaknya (dari kiri) Syawal, Salma serta Syahmi seronok jadi badut.
HIDAWATI dan anaknya melayan pengunjung yang menunggu giliran untuk mendapatkan belon.
HIDAWATI dan anaknya melayan pengunjung yang menunggu giliran untuk mendapatkan belon.
KE mana saja mereka pergi, keluarga badut jadi tumpuan.
KE mana saja mereka pergi, keluarga badut jadi tumpuan.
Rodly Fadly


Tidak pernah terlintas dalam fikiran Noor Hidawati Mohd Juki, 41, untuk bekerja sebagai badut apatah lagi ‘mengheret’ sama anaknya menceburi bidang terbabit.

Namun, sekali mencuba dia terus jatuh cinta sehingga mendorong tiga anaknya, Amirul Syahmi Muhammad Fairus, 12, Amirul Syawal, 9, dan Noor Laila Salma, 7, mengikut jejak langkah menjadi badut.

Anak-beranak ini kerap mendapat undangan untuk menyerikan majlis sama ada hari jadi, karnival, acara sukan atau program anjuran sekolah. Tidak hairan jika ada yang menggelar mereka sebagai keluarga badut.

Sebenarnya, seperti kebanyakan wanita, Hidawati memasang impian yang besar dalam hidup. Memiliki diploma dalam jurusan pengurusan hotel, dia bercita-cita menjadi usahawan restoran yang berjaya.

Namun ternyata pertemuan tidak dirancang dengan dua badut yang dikenali sebagai Labu dan Banana pada Disember 2015 mengubah segala-galanya. Ia secara spontan mencetuskan minat Hidawati terhadap bidang badut sehingga akhirnya dijadikan kerjaya.

Hidawati berkata, selepas kerap bertukar kerja, dia berasakan kerjaya sebagai badut lebih secocok dengan jiwanya berbanding pekerjaan yang pernah diceburi sebelum ini.

“Saya berkenalan dengan Labu dan Banana semasa sama-sama menyertai kursus mendapatkan permit sebagai seniman jalanan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ketika itu saya dan suami (Muhammad Fairus Shahuddin) aktif sebagai pemuzik jalanan di sekitar Kuala Lumpur bagi mencari sumber pendapatan sampingan.

“Tapi, selepas bertemu dengan Labu dan Banana serta berbual-bual mengenai kerjaya mereka, tiba-tiba timbul minat untuk menceburi bidang badut.

“Secara spontan saya nyatakan keinginan itu kepada mereka. Ternyata kedua-dua badut berpengalaman itu tidak lokek ilmu dan bersedia menjadikan saya anak murid mereka secara percuma,” katanya.

Menurut Hidawati, pada awalnya dia sekadar mahu mencuba serta ingin menjadikan bidang berkenaan sebagai kerja sambilan kerana ketika itu dia memberi tumpuan kepada perniagaan kraf tangan.

Malah, secara jujur Hidawati mengakui sebelum itu dia sendiri tidak yakin kerjaya sebagai badut mampu menjamin kehidupan seseorang. Apatah lagi masyarakat sering memandang rendah terhadap badut dengan melabel mereka sebagai seorang yang dungu.

Bagaimanapun, penampilan pertama menggunakan nama Watt De Clown pada sambutan Hari Wilayah Persekutuan anjuran bersama PPR Pekan Kepong dan DBKL pada Februari 2016, mengubah persepsinya terhadap kerjaya ini.

“Saya tampil pada acara terbabit tanpa diundang oleh mana-mana pihak sebaliknya melakukannya secara sukarela untuk merasai pengalaman menjadi badut. Ternyata sambutan diterima di luar jangkaan.

“Meskipun keletihan melayan pelbagai kerenah pengunjung, ia memberi kepuasan tersendiri apabila saya dapat menghiburkan mereka terutama kanak-kanak. Apa yang menggelikan hati, semua kostum badut yang saya pakai pada hari itu direka dan dijahit sendiri malah ada yang diubah suai daripada barang terpakai kerana tidak mampu membelinya.

“Contohnya untuk baju, ia diubah suai daripada baju yang saya pakai semasa mengandungkan semua anak,” cerita Hidawati.

Sejak kemunculan pertama itu, dia berasa semakin seronok untuk menjadi badut secara serius apatah lagi tidak ramai wanita menceburi bidang ini.

KEPUASAN TAK TERDUGA

Hidawati meningkatkan kemahiran dengan menyertai pelbagai kelas badut dan membabitkan diri dengan beberapa kumpulan seperti Kuala Lumpur Clown Alley (KLCA), My Badut, Badut Muslim serta Seniman KL.

Selain majlis keraian seperti sambutan hari jadi, rumah terbuka dan karnival, dia juga kerap mendapat undangan untuk majlis korporat serta majlis rasmi kerajaan seperti Hari Sukan Negara dan Hari Polis.

Malah lebih membanggakan, Hidawati serta rakannya pernah berkongsi pentas bersama Great Britain Circus ketika kumpulan sarkas terkemuka Britain itu membuat persembahan di Subang Jaya pada tahun lalu.

Tanpa berselindung, Hidawati mengakui kerjaya sebagai badut yang selama ini dipandang sebelah mata oleh banyak pihak sebenarnya memberi keselesaan hidup jika dilakukan secara serius.

“Sebenarnya ramai juga rakan terkejut apabila saya memilih badut sebagai kerjaya. Ada yang mempertikaikannya kerana menganggap saya mensia-siakan kelayakan akademik yang dimiliki.

“Tapi mereka tidak tahu badut mampu menyara kehidupan selesa dan membesarkan anak dengan kerjaya itu. Malah mereka mampu membeli harta seperti rumah dan kereta sebagaimana orang lain.

“Saya sendiri pada awalnya tidak yakin tapi selepas beberapa bulan menceburi bidang ini, saya berani menjadikan badut sebagai kerjaya sepenuh masa. Sebaliknya, kerjaya sebelum ini sebagai peniaga kraf tangan saya jalankan secara sambilan,” katanya.

Selain pendapatan, Hidawati berkata, kerjaya badut turut memberi kepuasan tersendiri kepada dirinya dan menganggap sudah menemui pekerjaan yang benar-benar kena dengan jiwanya.

“Saya pernah bekerja sebagai pengurus restoran, setiausaha, pembantu peribadi dan jurulatih kecergasan tapi tidak menemui kepuasan lalu tidak bertahan lama. Saya juga menjalankan pelbagai perniagaan selepas berhenti kerja kira-kira tujuh tahun lalu tapi tidak serasi.

“Ternyata pekerjaan badut menepati jiwa dan naluri saya yang sukakan hiburan serta kanak-kanak. Saya rangkumkan tarian, nyanyian dan lakonan dalam persembahan mengikut kesesuaian majlis,” ujar Hidawati yang turut menganjurkan kelas teater, tarian dan seni kraf tangan untuk remaja dan kanak-kanak.

Mengenai pembabitan anaknya, Hidawati tidak pernah memaksa mereka menuruti jejak langkahnya sebagai badut sebaliknya ia atas minat dan kemahuan mereka sendiri.

“Mula-mula mereka sekadar mengikut dan melihat saya membuat persembahan. Lama-kelamaan mereka menunjukkan minat dan menyatakan keinginan untuk mencuba. Pada awal dulu, anak sulung saya (Amirul Syafiq, 14) turut menjadi badut tapi sekarang dia lebih tumpukan pada sukan.

“Saya tidak mempunyai halangan kerana aktiviti sebegini dapat melatih mereka untuk berdikari serta memberi keyakinan diri apabila berhadapan dengan khalayak ramai.

“Syahmi dan Salma pula dulu pemalu dan takut dengan orang tapi sejak menjadi badut, mereka lebih yakin dan kini begitu petah bercakap apabila melayan peminat mereka,” katanya.

Ternyata apa yang dikatakan oleh Hidawati itu memang benar kerana ketiga-tiga anaknya itu langsung tidak kekok apabila berhadapan dengan orang ramai.

Malah, ketika ditanya penulis mengapa berminat menjadi badut, si bongsu, Salma petah menjawab:

“Saya suka kerana dapat menghiburkan orang terutama kanak-kanak. Saya juga dapat kumpul banyak wang sejak jadi badut.”

Bagaimanapun, menurut Hidawati, dia hanya membenarkan anaknya aktif pada cuti persekolahan supaya pelajaran mereka tidak terganggu kecuali program yang membabitkan sekolah.

Bercerita cabaran sebagai badut, Hidawati akui ia memerlukan kekuatan fizikal dan mental bagi menjayakan sesuatu majlis terutama yang berskala besar seperti karnival.

“Bayangkan saya terpaksa berdiri di tengah panas terik selama lima hingga enam jam sepanjang karnival berlangsung. Di samping itu, saya perlu menyediakan ribuan belon untuk diberikan kepada kanak-kanak yang mengunjungi acara itu.

“Pada masa sama, mental perlu kuat untuk menghadapi pelbagai ragam pengunjung terutama ibu bapa yang tidak sabar mendapatkan belon untuk anak mereka sehingga ada memaki-hamun. Sebagai badut wanita, saya juga perlu sentiasa berhati-hati kerana ada yang cuba mengambil kesempatan,” ujar Hidawati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 2:47 AM