NOORHIDAWATI bersama badut cilik yang dilatihnya.
NOORHIDAWATI bersama badut cilik yang dilatihnya.
Nor Asyikin Mat Hayin


KUALA LUMPUR: Noorhidawati Mohd Juki, 43, pernah bekerja di lapan syarikat swasta sejak 1998 sebelum berhenti pada 2011 seterusnya menjadi badut.

Malah, persalinan pertamanya sebagai badut dijahit sendiri daripada baju hamil miliknya.

“Saya terbabit dengan kerjaya sebagai badut pada 2016. Ketika menyuarakan perkara itu, suami, S Mohd Fairus Shahuddin, 51, tercengang.

“Bagaimanapun, suami menyokong minat saya malah meminta saya melakukan yang terbaik setiap kali menghiburkan orang ramai,” katanya.

Mengimbau kenangan sebelum menjadi badut, Noorhidawati yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kepong di sini berkata, dia terserempak dengan dua badut lelaki ketika memohon permit persembahan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Disember 2015.

“Saya bertanya kepada mereka bagaimana mahu menjadi badut dan mereka memaklumkan, mereka boleh memberi tunjuk ajar memandangkan tiada badut wanita.

“Saya setuju, malah turut belajar bagaimana menghasilkan belon pelbagai bentuk,” katanya yang juga lulusan diploma Pengurusan Hotel Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Menurut Noorhidawati, setakat ini, hasil daripada pengalaman, dia dapat menghasilkan 50 belon pelbagai bentuk serta watak.

Katanya yang dikurniakan tiga anak berusia sembilan hingga 16 tahun, dia kini mempunyai lima anak didik yang berminat menjadi badut.

“Saya gemar berkongsi ilmu berkaitan kerjaya badut dan mengajar apa yang saya tahu kepada lima murid saya.

NOORHIDAWATI menceriakan kanak-kanak dalam program di sekolah.
NOORHIDAWATI menceriakan kanak-kanak dalam program di sekolah.

“Untuk menjadi badut, seseorang itu perlu kreatif dan pandai menceriakan suasana selain pantas berfikir,” katanya.

Menurut Noorhidawati, setiap kali keluar bekerja, dia terus mengenakan pakaian badut dan tidak malu menggunakan pengangkutan awam ke destinasi program.

“Kita memang ada rasa malu tapi sebagai badut, kita perlu buang jauh-jauh perasaan itu.

“Saya pernah jauh hati selepas seorang pengacara majlis menyindir dengan mengatakan saya malas belajar dan kini menjadi badut untuk mencari rezeki,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Noorhidawati, dia menjadikan sindiran itu sebagai penguat semangat untuknya terus berkarya.

“Jika tidak dipanggil untuk menceriakan program, saya berkunjung ke Jalan Bukit Bintang selain sekitar pusat beli-belah Sogo untuk menghiburkan orang ramai.

“Syukur kerana walaupun pendapatan diterima tidak besar namun ia cukup membantu suami menyara keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 6:00 AM