Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Selepas empat bulan terpaksa 'menggantung' kostum badut selain menghentikan sementara aktiviti sebagai juruhebah acara susulan kawalan pergerakan, seorang lelaki kembali menyarung pakaian itu sambil menawarkan khidmat semburan (fogging) bagi tujuan sanitasi rumah ke rumah.

Shaharul Hisam Baharudin, 43, sebelum ini menjadikan kerjaya menghiburkan pengunjung sebagai sumber pendapatan terpaksa akur memberhentikan perkhidmatan itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa Jun lalu, akibat langsung ketiadaan tempahan pelanggan.

Katanya, pendekatan berkenaan digunakan bagi membolehkan dirinya menjadi pilihan pelanggan untuk menggunakan khidmatnya memandangkan tiada sebarang majlis sambutan perayaan, dan keramaian menyebabkan persembahan badut mahupun juruhebah.

"Idea ini tercetus memandangkan di musim PKP atau pandemik seperti sekarang aktiviti fogging (semburan sanitasi) sudah menjadi seperti keperluan. Selain gemarkan sesuatu yang lain daripada lain, ia juga dapat menggilapsemula kemahiran persembahan saya selepas lama 'menyepi'.

"Kalau hendak dibandingkan hasil pendapatan antara sebelum dan selepas memulakan aktiviti fogging dengan kostum badut, ia sememangnya jauh lebih kecil namun jadilah supayasaya lakukannya semata-mata untuk sesuap nasi," katanya sewaktu dihubungi. malam tadi.

Katanya, biarpun sedar khidmat sanitasi yang ditawarkannya menjadi keperluan di masa pandemik, namun harga untuk perkhidmatan itu yang ditawarkannya diletakkan dengan kadar minimum berikutan sedar masih ramai yang hilang sumber pendapatan, menyebabkan permintaan tidak begitu tinggi.

Duda tanpa anak itu berkata, dia hanya mengenakan caj minimum iaitu RM50 bagi satu sesi fogging rumah atau pejabat dengan mengenakan pakaian badut, manakala RM20 bagi sanitasi biasa yang kebiasaannya menyasarkan kawasan di mukim Taiping.

Shaharul Hisam yang memilih kerjaya itu sejak sembilan tahun lalu berkata, khidmat fogging dilakukannya sejak enam bulan lalu dengan mempromosikan khidmat itu sama ada di Facebook atau WhatsApp.

"Apabila datang ke rumah pelanggan mengenakan kostum badut, seronoklah kanak-kanak melihat gelagat saya memandangkan sudah lama mereka tidak dapat 'berjalan' di pasar raya atau mana-mana acara. Tambahan pula pasar raya besar adalah antara lokasi yang sering menggunakan khdimat badut.

Secara peribadi saya turut rindu untuk mengenakan kostum badut, hinggakan tempoh empat bulan saya 'menggantung' kostum ada kalanya menyebabkan saya kembali kekok untuk beraksi sebagai badut.

"Kiranya dengan khidmat yang saya tawarkan seperti ini, sedikit ebanyak dapat menggilap kembali bakat saya, di samping menghadirkan kegembiraan kepada kanak-kanak yang sudah tentu rindu untuk melihat badut ataupun berkunjung ke pasar raya besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 9:25 AM
Badut, Shaharul Hisam Baharuddin, 43, (kiri) atau dikenali sebagai 'Piweet De Clown' sedang membasmi kuman sambil menghiburkan kanak-kanak di rumah pelanggannya di Air Kuning. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Badut, Shaharul Hisam Baharuddin, 43, (kiri) atau dikenali sebagai 'Piweet De Clown' sedang membasmi kuman sambil menghiburkan kanak-kanak di rumah pelanggannya di Air Kuning. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM